Ramai yang mengakui kehebatan Rosyam membawakan watak aksi terutama dalam filem KL Gangster 2. Terbaru, pelakon berusia 47 tahun ini memukau lagi apabila beraksi lasak dalam filem terbitannya, Balistik yang akan menemui penonton pada 9 Januari ini.
Ini dibuktikan apabila ramai pihak memuji lakonannya pada majlis pratonton filem Balistik di Mutiara Damansara yang berlangsung pertengahan Disember lalu. Sememangnya filem tebitan syarikatnya, RK Screen Sdn Bhd dan Datuk Kelvin Tan dengan kerjasama Asia Tropical Films Sdn Bhd (ATF) yang menelan belanja mencecah RM3 juta ini nyata sebuah filem yang hebat.
Selain Rosyam, Balistik turut menampilkan Adi Putra, Rita Rudaini dan artis keturunan Cina tempatan yang paling popular, Jack Lim. Kos yang dikeluarkannya sangat besar. Justeru, Rosyam perlu menampilkan mereka sebagai strategi bagi menarik kehadiran peminat di pawagam.
“Saya perlu ambil pelakon yang orang suka. Filem ini mempunyai naskhah menarik kerana gaya penceritaannya ada suspens, drama, aksi, sedih dan kekeluargaan. Justeru, pemilihan mereka dilihat sesuai kerana masing-masing mempunyai penghayatan karakter yang baik.
“Peminat yang rindukan lakonan saya dan Rita juga perlu menonton filem ini bagi mengubat kerinduan. Mereka pasti akan puas hati melihat gandingan hebat saya bersama Adi dan Rita menerusi filem ini. Saya sendiri puas hati dengan filem garapan Silver ini,” katanya yang menulis skrip Balistik bersama Silver.
Aksi hebat yang ditunjukkan Rosyam menerusi filem ini turut berjaya menepis kata-kata nakal mengenai usianya yang tidak lagi layak bergelar hero. Namun, Rosyam mempunyai alasan sendiri bagi menjawab persoalan yang sering kali diperkatakan ini.
“Saya mungkin tak sesuai lagi untuk berlakon sebagai hero filem genre romantik. Namun pada usia begini, saya boleh berlakon filem aksi seperti yang dibuktikan menerusi filem Hollywood. Banyak pelakonnya terdiri daripada mereka yang berusia.
“Lakonan mereka ini mendapat sambutan yang baik daripada peminat di seluruh dunia. Justeru, saya berharap mereka yang berkata begini akan datang menonton dan seterusnya barulah boleh buat penilaian mengenai kemampuan saya,” katanya.
Balistik dipilih sebagai judul bagi menggambarkan kelajuan peluru. Namun, filem ini tidak bergerak atas paksi aksi semata-mata kerana emosi yang ditampilkan di dalamnya mampu meruntun hati penonton. Rosyam melakonkan watak Saga yang terbabit dalam kegiatan kongsi gelap serta diburu polis.
“Emosi penonton akan terbuai kerana watak Saga (Rosyam), Inspektor Nizam (Adi) dan Salina (Rita) membesar bersama di rumah anak yatim. Apabila dewasa Saga berkahwin dengan Salina dan dikurniakan anak lelaki, Rykarl (Rykarl Iskandar)
“Saga seorang pembunuhan upahan dan kerana gaya hidupnya dia meninggalkan Salina yang akhirnya berkahwin dengan Inspek–tor Nizam. Kejahatan Saga menyebabkan dia menjadi buruan polis. Dia akhirnya berdepan Inspektor Nizam yang pernah diselamatkannya daripada jadi mangsa buli ketika di rumah anak yatim dulu.
“Dari sudut aksi, kami mempertaruhkan yang terbaik sehingga sanggup menghabiskan 1,000 peluru dan lima kereta yang turut diletupkan. Kami menggunakan pengarah aksi Hong Kong,” katanya.