Wednesday, July 29, 2015

Apakah kebetulan atau konspirasi?


artikel
KETIKA Perdana Menteri Malaysia Ke-6 sedang menarik perhatian dunia berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), persoalan wang dalam akaun peribadi, aset anak isterinya dan tindakan sesetengah pemimpin Umno yang mempersoal kepemimpinannya, Datuk Seri Najib Razak hari ini menampakkan ‘belang’.
Menduduki kerusi Perdana Menteri pada 2009 selepas ‘turut memberi tekanan’ kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi supaya meninggalkan Putrajaya, Najib hari ini mengumumkan ‘pemecatan’ beberapa menteri kanan, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkuat-kuasa esok.
Namun yang pelik, menghairankan dan amat jarang berlaku sebelum ini adalah pengumuman rombakan Kabinet itu berlaku hampir serentak dengan empat berita mengejutkan lain pagi tadi yang diandaikan mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Empat berita lain yang diumumkan hari ini serentak dengan rombakan Kabinet ialah:
1. Penamatan khidmat Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara;
2. Persatuan Minda Sosial Prihatin (PMSP) lapor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia mengenai 1BestariNet di bawah Muhyiddin;
3. Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri; dan
4. Pelantikan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman yang baru.
Tidak boleh dinafikan bahawa kelima-lima ‘peristiwa pelik’ itu telah membawa kepada persepsi rakyat bahawa kerajaan di bawah kepemimpinan Najib sekarang ini sedang berusaha ‘mematahkan’ serangan terhadap beliau.
Isu hutang oleh 1MDB berjumlah RM42 bilion yang dikawal sendiri oleh Najib, isu wang RM2.6 bilion masuk ke akaun peribadi beliau dan isu RM2 juta didakwa masuk ke akaun isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, selain persoalan mengenai dari mana anak tirinya memperoleh jutaan ringgi bagi membiayai filem lucah, menghampiri kemuncaknya apabila kerajaan cuba menutup mulut pemimpin dan rakyat daripada bersuara.
Suara media dan menteri kini ‘digam’ oleh kerajaan Najib yang kini dianggap sebagai ‘kerajaan diktator’.
najib umum kabinet baharu
1. Rombakan Kabinet (Pemecatan Muhyiddin dan isu 1MDB)
Mula menduduki kerusi TPM pada 10 April 2009, semua orang tahu Muhyiddin yang dibesarkan dalam keluarga yang kuat berpegang kepada Islam, malah bapanya yang juga seorang ulama, tidak takut untuk mempertahankan kebenaran.
Muhyiddin yang sebelum ini pernah dilaporkan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai TPM tetapi ditolak oleh Najib, mula menyuarakan pandangannya sebagai Timbalan Presiden yang bertanggungjawab terhadap parti Umno dansebagai TPM yang perlu bertanggungjawab kepada negara serta rakyat.
Kita yakin sebagai TPM, bukannya Muhyiddin tidak mengetahui mengenai isu dan masalah yang menimpa 1MDB sebelum ini, namun demi menjaga Najib sebagai boss dan rakan, beliau dipercayai lebih banyak mendiamkan diri.
Sehinggalah isu 1MDB semakin panas dan kemudian dikaitkan pula dengan laporan The Wall Street Journal bahawa kira-kira RM2.6 bilion masuk ke akaun peribadi Najib, serta laporan mengatakan RM2 juta masuk ke akaun peribadi isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Muhyiddin mula memberi nasihat kepada Perdana Menteri, namun tidak dipedulikan.
Akhirnya, Muhyiddin mula meluahkan rasa tidak puas hati terhadap 1MDB secara umum dalam perjumpaan dengan ahli Umno sama ada secara tertutup atau terbuka dan dalam Kabinet. Kita yakin beliau tidak membuat kritikan dan menyerang secara terus Perdana Menteri atau keluarganya.
Kita menganggap tidaklah berat sangat kritikan Muhyiddin terhadap 1MDB dan nasihat kepada Najib sehingga Perdana Menteri begitu kejam ‘mematikan’ karier politik orang yang selalu membelanya.
HARI INI, kerana serangan terhadap 1MDB, Muhyiddin akhirnya ‘diberhentikan’ oleh Najib.
9560
2. Penamatan khidmat Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara (Siasatan terhadap 1MDB)
Alasan yang diberi ialah kerana Gani menghadapi masalah kesihatan. Tidak dinafikan Gani mempunyai masalah kesihatan, namun rata-rata orang ramai melihat tindakan itu ada kaitan dengan siasatan Pasukan Petugas Khas ke atas 1MDB, yang dipercayai memperoleh banyak maklumat mengelirukan mengenai berbilion-bilion wang yang dipinjam daripada bank tempatan dan luar.
Apa yang memeranjatkan ialah pendedahan oleh The Wall Street Journal yang memetik laporan Pasukan Penyiasat Khas itu mendedahkan berlaku aliran wang tunai ke dalam akaun Najib berjumlah RM2.6 bilion. Najib walaupun sudahmengarahkan peguamnya mengambil tindakan, namun masih tidak menjawab sama ada betul atau tidak wang berkenaan berada di dalam akaun beliau. Ya atau tidak!
Malah, ada dakwaan bahawa Gani sudah mempunyai maklumat lengkap dan bercadang mengenakan tuduhan terhadap Najib. Pasukan Penyiasat Khas itu turut dianggotai SPRM, Gabenor Bank Negara, dan PDRM dan kerap menyiarkankenyataan mengenai siasatan mereka.
HARI INI, khidmat Gani akhirnya ditamatkan. Adakah Pasukan Penyiasat Khas juga terpaksa menghentikan siasatan mereka atau menyerahkan semua dokumen siasatan kepada Najib?
Logo-SPRM
3. PMSP lapor SPRM mengenai 1BestariNet (Pembabitan Muhyiddin sebagai Menteri Pelajaran)
Secara tiba-tiba sahaja, PMSP hari ini membuat aduan kepada SPRM supaya menyiasat kegagalan projek runding terus 1BestariNet yang bernilai RM663 juta yang diluluskan Muhyiddin selaku Menteri Pendidikan.
Dalam kenyataan kepada media selepas mengemukakan laporan itu, Penasihat Ekonomi PMSP, Suud Ridzuan dilaporkan meminta Muhyiddin mengambil cuti rehat sehingga siasatan SPRM ke atas projek itu selesai.
“Kami amat prihatin bahawa RM663 juta sudah dibelanjakan adalah wang rakyat. Ini adalah satu jumlah yang sangat besar,” kata Suud. Mungkin, Suud tidak mengetahui bahawa RM42 bilion yang dipinjam oleh 1MDB adalah wang rakyat dan jumlahnya lebih besar daripada RM663 juta.
Namun, kita hairan kenapa pertubuhan yang mempunyai minda prihatin itu tidak membuat aduan terhadap Najib selepas dakwaan mengatakan RM2.4 bilion wang 1MDB yang juga wang rakyat masuk ke akaun peribadi Najib.
Jika PMSP menggesa Muhyiddin berehat kerana kata mereka kes itu melibatkan wang rakyat yang jumlahnya sangat besar, wajar juga mereka menggesa Najib supaya berehat kerana wang yang dikawal oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan dan ‘pengawal’ 1MDB adalah berkali-kali ganda besarnya – bukan juta tapi bilion.
HARI INI, apabila Muhyiddin sudah menjadi rakyat biasa (kecuali masih memegang jawatan Timbalan Presiden Umno dan Ahli Parlimen), mudahlah siasatan dijalankan ke atas beliau.
nurjazlan
4. Pelantikan Pengerusi PAC sebagai timbalan menteri (Siasatan terhadap 1MDB)
Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed adalah Pengerusi PAC yang kini sedang menyiasat dakwaan penyalahgunaan wang oleh 1MDB yang dikawal oleh Najib.
Adakah, pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri (satu portfolio penting) adalah usaha untuk memperlahankan siasatan PAC ke atas 1MDB? Ini kerana pelantikan anggota PAC perlu dibuat di Parlimen sedangkan sidang Dewan Rakyat sesi akan datang masih lambat lagi.
Sudah diketahui ramai bahawa 1MDB membuat hutang daripada bank tempatan dan luar negara paling besar dalam sejarah Malaysia iaitu kira-kira RM42 bilion. Wang yang dipinjam itu pula kini dikatakan tidak dapat dikesan.
HARI INI, pastinya siasatan PAC terhadap 1MDB tergendala apabila Nur Jazlan berkata beliau akan meletak jawatan sebagai Pengerusi PAC selepas dilantik sebagai timbalan menteri. Siapa yang akan meneruskan siasatan apabila ‘kepala’ PAC dan Pasukan Penyiasat Khas (Gani) tiada?
pdrm
4. Pelantikan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman yang baru.
Apa pula kaitan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman dalam hal siasatan terhadap 1MDB atau Najib? Memang agak sukar untuk dikaitkannya, namun perlu diingat bahawa peranan SB dalam sebarang siasatan kes tidak boleh diketepikan apa lagi dalam isu-isu yang besar dan mengancam keamanan negara.
Namun, mungkinkah hanya kebetulan Kementerian Dalam Negeri yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri baharu yang akan memulakan tugas rasminya esok, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan pelantikan Mohamad Fuzi Harun sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman menggantikan Datuk Seri Akhil Bulat yang bersara?
P/S: Bukan saja HARI INI, tetapi sudah lama berlaku kacang lupakan kulit!
 Sumber : ismaweb.net

Tuesday, July 28, 2015

Tan Sri Muhyiddin Yassin disingkir dari Jawatan TPM


SHAH ALAM - Dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, namai baik parti dan kepentingan negara. Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet maka saya redha,” demikian reaksi bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Meluahkan rasa terbuka terhadap keputusan yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi, jelas Muhyiddin menerusi laman Facebooknya, beliau menerima keputusan tersebut serta menghormati kuasa prerogatif Perdana Menteri untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota kabinet.

“Saya menerima keputusan Perdana Menteri untuk menggugurkan saya daripada Kabinet dengan hati yang terbuka.

“Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya telah terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar-dasar kerajaan dan melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan kepada saya dengan penuh amanah.

“Selama saya berkhidmat, saya sentiasa mendokong semua dasar kerajaan dan menyokong kepimpinan Perdana Menteri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau dalam pada itu turut mengucapkan penghargaan kepada peluang untuk menggalas tugasan yang diberikan sejak 2009 lalu.

“Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana telah memberikan peluang kepada saya untuk berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan sebagai Timbalan Perdana Menteri bermula 10 April 2009.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak yang telah menyokong saya sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri,” ujarnya.

Jelas Muhyiddin, walaupun bukan lagi tersenarai sebagai salah seorang anggota Kabinet, beliau akan terus melaksanakan tugas sebagai Timbalan Presiden Umno.

“… Saya akan terus memikul amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya dan mencurahkan khidmat bakti saya demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada Umno.

“… Kepada ALLAH saya berserah,” katanya lagi.

Tuesday, July 21, 2015

Nabil minta maaf 'tak tegur' di Tanah Suci


KUALA LUMPUR: Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad, tidak melatah ditempelak Azwan Ali dan memilih untuk memohon maaf secara terbuka kepada Azwan Ali di laman sosial Twitter.

Azwan menempelak Nabil kerana dikatakan tidak menegurnya dan bersikap sombong ketika mengerjakan ibadat umrah, baru-baru ini.

"Saya sebenarnya tidak nampak kelibat dia pun di Jeddah sampai ke KLIA. Jadi, bagaimana saya hendak menegur beliau kerana saya tak nampak pun dia (Azwan)?

"Tak pernah lagi saya tak menegur orang kalau sudah nampak depan mata. Saya malas nak melayan isu ini dan kalau boleh hendak menjauhkan diri daripada perkara negatif.

"Lagipun saya baru pulang dari rumah Allah, malaslah hendak bergaduh. Oleh itu, saya memilih untuk memohon maaf di Twitter. Saya rasa tindakan itu paling tepat untuk dilakukan oleh saudara Islam kepada saudara Islam," kata Nabil kepada BH Online.

Azwan memuatkan kata-kata menempelak itu di laman twitternya.






Sementara itu, Nabil turut meluahkan rasa gembiranya kerana berjaya menjejakkan kaki ke Tanah Suci selama tempoh 10 hari.

Baginya, pengalaman 10 hari di Tanah Suci itu sangat berharga dan sukar untuk diungkap dengan kata-kata.

"Alhamdulillah, saya berjaya menunaikan umrah untuk tempoh 10 hari. Pengalaman berada di sana begitu menakjubkan dan saya bersyukur kerana dipanggil menjadi tetamu ke rumah Allah.

"Keadaan agak sibuk di sana kerana orang berkejar untuk malam Lailatul Qadar. Kenangan beribadat untuk 10 malam terakhir itu memang tak dapat saya lupakan.

"Pada mulanya saya risau juga hendak meninggalkan isteri dengan dua orang anak saya. Kami pun tak pernah berenggang namun semuanya berjalan dengan lancar," katanya.

Tuesday, July 14, 2015

RM500,000 Telefon, aksesori tiruan dirampas


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur merampas pelbagai telefon pintar dan aksesori tiruan jenama Samsung, IPhone, Lenovo , Oppo serta Nokia membabitkan nilai sebanyak RM500,000 dalam serbuan di Kompleks Pertama, petang tadi.

Dalam serbuan kira-kira jam 3.30 petang itu, beberapa premis dan stor di kompleks beli belah berkenaan diserbu berikutan aduan awam serta risikan yang dilakukan bahagian penguatkuasaan agensi berkenaan.

Pengarah KPDNKK KL, Muez Abd Aziz berkata, semua produk berkenaan dipercayai tiruan dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti pembekal kepada peniaga di pusat berkenaan.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak lebih 3 tahun bagi perseorangan.

Katanya, bagi syarikat, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan tiruan yang dirampas.

"Selain daripada itu, KPDNKK turut menghasilkan empat kes dan mengenakan kompaun sebanyak RM2,000 mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011," katanya ketika ditemui, semalam.

 
© Copyright 2011 Berita Semasa
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.