KualaTerengganu: Angka mangsa banjir di Terengganu meningkat dengan pantas apabila melangkaui 1,000 orang sehingga jam 12 tengah malam ini berbanding lebih 300, lewat petang semalam.
Kuala Terengganu mencatat jumlah mangsa terbanyak dengan 987 orang membabitkan 224 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan (PP).
Marang pula membabitkan 251 orang daripada 54 keluarga ditempatkan di dua PP, manakala dua PP di Setiu memuatkan 30 mangsa daripada lapan keluarga.
Penduduk Taman Desa Damai, Gong Badak, Nordin Ariffin, 47, berkata, kediamannya yang baru dihuni setahun, dinaiki air dengan cepat sehingga hampir 0.5 meter dalam tempoh tidak sampai sejam.
"Banyak barang keperluan rumah tidak sempat diselamatkan kerana yang penting nyawa saya dan isteri serta enam anak," katanya ketika ditemui Harian Metro di PP Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, dekat sini, malam tadi.
Jumlah keseluruhan mangsa yang terjejas di seluruh negeri ini adalah 1,268 orang membabitkan 286 keluarga yang ditempatkan di lapan PP.