Saturday, February 22, 2014

Robocop 2014 lebih emosi

Karya terdahulu sudah mencatat sejarah tersendiri. Lalu, kemunculan Robocop ketika itu sememang–nya bergerak dalam jaluran tersendiri dengan memanfaatkan segala ‘state-of-the-art’ yang terdapat dalam teknologi Hollywood.

Robocop jelas mencetuskan fenomena tersendiri buat kaki wayang bukan setakat di Barat, sebaliknya seluruh dunia. Menariknya, Robocop bukanlah adiwira seperti Superman atau Spider-Man, sebaliknya mesin yang ‘dilahirkan’ dalam makmal bagi membanteras jenayah.

Mengangkat tema aksi dalam imaginasi, sekali lagi filem bergenre sains fiksyen ini diterjemah ke dalam bentuk ‘remake’ dengan gaya lebih segar.

Mempertaruhkan aktor kacak kelahiran Sweden-Amerika, Joel Kinnaman sebagai watak utamanya, Alex J Murphy, filem Robocop 2014 nyata lebih kemas dalam sentuhan pengarahnya, sutradara kelahiran Brazil, Jose Padilha.

Foto

Konsep ceritanya masih sama namun penerbitan–nya kali ini disuntik elemen kontemporari, lebih canggih khususnya pada aspek sut robot dan sesuai dengan kemajuan industri kreatif.

Sut superhero terbabit digambarkan sangat hebat dengan teknologinya lebih maju apabila sistem perkomputerannya mampu mengatasi sistem lain dari pelbagai sudut.

Sinopsis filem ini masih berpaksikan plot asal yang mengisahkan seorang pegawai polis di Detroit, Alex Murphy (Joel Kinnaman) ditimpa kemalangan teruk dan serius apabila keseluruhan anggota badannya hampir musnah selepas terbakar akibat keretanya meletup.

Kebetulan sebuah syarikat gergasi, OmniCorp sedang mencari penyelesaian terbaik bagi sebuah teknologi ciptaan terbaru mereka dan melihat kemalangan Alex Murphy itu sebagai satu ke–sempatan terhebat.

Maka bermulalah watak Raymond Sellars lakonan Michael Keaton yang cuba memujuk dengan alasan memberi Alex peluang untuk ‘hidup’ kali kedua dengan menyarungkan sejenis sut robot.

Kecederaan yang dialami Alex begitu teruk hingga yang tinggal untuk diselamatkan hanya bahagian kepala dan otaknya saja. Justeru, dia bersetuju untuk menerima eksperimen itu dengan terpaksa memakai sut robot buat selama-lamanya.

Plot versi barunya kali ini lebih seimbang apabila pengarahnya memberi dua dimensi cerita dan penekanan terhadap soal tanggungjawabnya sebagai robot yang berkhidmat untuk membanteras kejahatan, juga babak drama antara Alex dan anaknya.

Malah dalam pada menghapuskan jenayah dan membanteras segala kejahatan yang mengancam nyawanya, Robocop 2014 lebih bijak mencari fokus kepada menjawab persoalan dan misteri punca sebenar bagaimana dia boleh terbabit dalam rancangan itu.

Mungkin nampak seakan-akan Robocop 2014 kurang impak dari sudut aksinya kepada peminat tegar yang pernah mengikuti naskhah ini, namun pengarahannya kali ini lebih matang dengan menyuntik banyak elemen kekeluargaan dan emosi menceritakan nasib seorang lelaki yang terpaksa menjadi robot untuk terus hidup dan berdepan dengan ahli keluarganya.

Projektor mendapatkan pandangan daripada penyanyi muda, Nomad yang mengakui filem ini terbaik dan mampu membuatkannya untuk kembali menontonnya buat kali kedua.


Nomad tiba-tiba menangis

“Versi dulu muncul ketika saya masih kecil dan sudah tentu fenomena itu tidak dengan terang sampai kepada saya. Namun saya tidak ketinggalan untuk kembali menyaksikan filem terdahulu apabila saya remaja.

“Bagaimanapun, selepas lebih dua dekad dan naskhah sains fiksyen ini kembali ditayang–kan, saya menjadi tertarik untuk menontonnya kerana mahu melihat apakah perubahan yang cuba dilakukan pengarahnya.

“Apa yang boleh saya katakan, Robocop 2014 karya sains fiksyen yang lebih dewasa dan serius pada sudut penceritaannya kerana ia tidak semata-mata meletakkan fokus kepada aspek aksi dan teknologi canggih sut robot polisnya itu.

“Sebaliknya kali ini, elemen kekeluargaan dan hubu–ngan antara watak utamanya, Robocop itu dengan anaknya yang terpaksa menerima hakikat yang ayahnya kini sudah menjadi robot untuk terus hidup.

“Bayangkan, saya tiba-tiba menangis ketika babak ayahnya yang meminta untuk anaknya menyentuh sut robot yang dipakainya. Sangat mendalam penghayatannya dan emosi itu disuntik perlahan dengan sempurna. Walaupun sains fiksyen dan sebuah karya aksi, versi 2014 ini mencerminkan kematangan dalam penceritaannya.

“Lakonan Joel Kinnaman tidak banyak boleh diulas kerana watak itu sendiri terlalu terhad untuk dinilai sebagai lakonan manusia biasa. Sesiapa pun aktor yang melakonkan Robocop tidak perlu bimbang pada seni lakon kerana penonton lebih terpaku menunggu babak aksi yang menunjukkan kehebatannya.

“Namun saya tidak menolak kemungkinan yang sudah tentu peminat setia siri ini akan mengeluh kerana elemen aksi dan babak pertarungannya kurang mengikut harapan mereka. Bagi saya, Robocop 2014 adalah kebangkitan watak Alex Murphy yang sebenarnya bertarung dengan konflik dirinya apabila terperangkap dalam sut canggih itu.

“Secara keseluruhan, saya sa–ngat terhibur menonton filem ini dan sudah tentu akan kembali menontonnya jika ada peluang lagi. Saya berikan 5 bintang untuk filem ini kerana ia filem aksi sci-fi terbaik untuk suku pertama tahun ini,” katanya.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 Berita Semasa
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.