Pekin bersama Uqasha Senrose
PASANGAN bahagia, Pekin Ibrahim dan Uqasha Senrose mendedahkan sudah mula membuat persiapan perkahwinan mereka yang dijangka diadakan pada tahun ini.
Walaupun masih merahsiakan tarikh perkahwinan mereka, pasangan ini mengharapkan apa yang dirancang akan berjalan lancar.
Uqasha berkata, selain persiapan perkahwinannya yang sudah hampir suku peratus, dia turut mengakui kerap ke gimnasium dan mengurangkan pengambilan nasi dalam amalan diet hariannya bagi mengurangkan berat badan.
“Alhamdulillah, persiapan kahwin sudah 30 peratus selesai, sekarang ini saya juga sedang menurunkan berat badan memandangkan dah naik satu kilogram.
“Saya bukanlah nak nampak terlalu kurus sebab badan saya bukanlah besar sangat, cuma nak kelihatan ‘just nice’ saja,” katanya.
Memilih konsep perkahwinan dalam taman, pelakon Paku Pontianak ini berkata, dia bersetuju dengan idea bakal suaminya untuk melangsungkan majlis perkahwinan mereka secara lebih santai dan sederhana.
Menurutnya, dia juga tidak menolak untuk terima tajaan daripada mana mana pihak untuk majlis perkahwinan mereka namun semuanya tertakluk kepada hasil perbincangan dan kesesuaian majlis mereka.
“Saya bersetuju dengan Pekin, kami akan melakukannya secara sederhana tak mahu terlalu meriah.
“Kami juga sedang berbincang dengan penaja yang sesuai sahaja dengan konsep taman secara santai ini,” katanya.
Resepsi kedua di kawasan pantai
Bagi memastikan majlis yang dirancang berjalan lancar, Pekin mengambil pengurusan dan memilih lokasi manakala bakal isterinya, lebih kepada rekaan baju dan dekorasi.
“Walaupun sekarang ini sudah mula buat persiapan, kami memilih untuk lebih santai dan sederhana, namun agak rumit juga. Banyak juga perkara yang perlukan perhatian lebih.
“Pada mulanya, kami ingin memilih konsep di pantai, namun bila difikirkan orang tua kami, tidak sanggup rasanya, kesian mereka nak ke sana nanti. Bagaimanapun, kami akan melakukannya juga dan hanya menjemput media atau rakan-rakan saja nanti,” katanya yang mahu melakukan resepsi kedua bersama rakan.
Pasangan ini mengakui kesibukan dengan kerjaya masing-masing melambatkan proses persiapan menjelang hari bahagia mereka namun ahli keluarga banyak membantu.
“Alhamdulillah, keluarga memahami kesibukan dan turut membantu kami dalam menyempurnakan persiapan ini,” katanya.
Mengenai perkembangan kerjaya pasangan ini, mereka baharu sahaja selesai menjalani drama cerekarama berjudul Hitam yang bakal bersiaran di TV3 tidak lama lagi.