Afdlin Shauki
Siapa tak kenal Afdlin Shauki, malah pelakon, pengarah dan penerbit
kelahiran, Johor Bahru, ini bukanlah nama picisan dalam industri seni
tempatan.
Beberapa kali memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, di Festival Filem Malaysia (FFM), ini cukup membuktikan kehebatan anak seni ini.
Bukan sahaja dalam bidang lakonan, malah Afdlin, 42, juga merupakan salah seorang daripada pengarah dan penerbit tersohor dalam industri tempatan. Lihat sahajalah karyanya Baik Punya Cilok, Berani Punya Budak, Buli, Buli Balik, Los dan Faun, Misteri Jalan Lama, My Spy, Papadom dan Sumolah, ianya sudah cukup untuk menggambarkan kredibiliti pengarah ini.
Pada masa yang sama, Afdlin juga turut terlibat dalam bidang komedi dan penyertaannya di dalam rancangan realiti, Maharaja Lawak Mega, pada 2011, berjaya membawa kumpulan, Boboi, yang dianggotainya bersama Harun Salim Bachik, sebagai naib juara.
Hampir kesemua cabang seni disertai, Afdlin membuktikan kehadirannya dalam industri bukanlah sesuatu perkara dipandang enteng.
Malah, idea dan kreativiti yang ada pada Afdlin, tidak semua ada pada penggiat seni lain.
Baharu mempertaruhkan filem arahannya, Papadom 2, pada 12 Disember lalu, Afdlin berkongsi perkembangan terkini mengenainya.
Baharu sahaja selesai ditayangkan, bagaimana sambutan filem terbaharu anda di pawagam?
Sepanjang tempoh tayangan di pawagam, filem Papadom 2, hanya mampu mencatat kutipan serendah RM620,000 sahaja.
Pada pengamatan saya, ianya merupakan kutipan yang sangat teruk sepanjang penglibatan saya dalam industri seni selama 15 tahun.
Ia adalah pelaburan saya yang tidak balik modal dan paling menghampakan.
Jika diteliti, Papadom berjaya meraih kutipan setinggi RM3.8 juta, namun untuk Papadom 2, ia agak sukar...
Saya menyimpan Papadom 2, hampir dua tahun dan sebelum ini, saya teragak-agak untuk menghasilkan filem lagi setelah melihat masalah sambutan penonton terhadap karya tempatan.
Namun, ternyata usaha saya hanya sia-sia dan merugikan. Ketika tayangan perdana, saya menerima banyak maklum balas Papadom 2 lebih menarik daripada Papadom sebelum ini.
Namun, apabila melihat hasilnya, ia sangat mengecewakan saya! Pun begitu, saya berterima kasih dengan usaha Astro First dalam membawa filem saya ke kaca televisyen.
Secara tidak langsung, bakal meningkatkan jumlah kutipan sedia ada.
Pada pemerhatian anda, apakah faktor utama kegagalan filem ini di pawagam?
Mungkin peminat Papadom sudah meninggal dunia (ketawa kecil) jadi, Papadom 2 tidak mendapat sambutan lagi.
Mungkin juga ada antara peminat yang tidak tahu filem ini dan mungkin juga mereka (penonton) sudah tidak mahu menonton filem bercorak kekeluargaan.
Banyak kemungkinan yang saya fikirkan termasuklah soal kehambaran penonton untuk datang ke pawagam.
Mungkin juga mereka fikir, tidak perlu bersusah payah ke pawagam kerana mereka dapat mengakses filem ini di internet dengan cara yang mudah dan lebih murah.
Anda dilihat begitu kecewa...
Ya, memang saya kecewa dan hampa. Malah, saya sendiri buntu untuk mencari jalan penyelesaian terhadap kegagalan ini.
Saya telah membuat keputusan, di mana filem ini merupakan filem terakhir saya untuk pasaran industri tempatan. Saya sudah tiada hati untuk menghasilkan filem tempatan lagi.
Cukuplah Papadom 2 untuk menilai selera penonton kita. Ia adalah penanda aras di mana filem bukan lagi platform untuk menjana pendapatan bagi pemodal seperti saya.
Bagaimana pula dengan sekuel, Mamadom?
Kalau Papadom 2 pun hancur, macam mana nak buat Mamadom? Anggaplah ia hanyalah angan-angan saya sebelum ini yang terpaksa dikuburkan...
Selepas ini, adakah anda tidak akan mengarah atau menerbitkan filem lagi?
Kemungkinan besar, selepas ini saya hanya akan terlibat dalam projek luar negara sahaja. Tidak kiralah dalam pengarah ataupun penerbitan.
Sebagai penggiat seni, saya perlu mengambil kira banyak perkara termasuk dalam soal kewangan dan keuntungan.
Bagaimana pula dengan perniagaan dan aktiviti seni lain?
Buat masa ini, saya juga sibuk menguruskan perniagaan Pelikat Pants. Sejujurnya, jual seluar pelikat lebih menguntungkan daripada buat filem tempatan.
Saya juga terlibat dalam perniagaan kek coklat Boboi, malah ia mendapat sambutan cukup memberangsangkan.
Alhamdulillah, tahun lalu saja sebanyak 34,000 bekas kek coklat berjaya dijual dan tahun ini sambutan tidak kurang hebatnya.
Dalam aktiviti seni, saya masih menerima undangan lakonan seperti biasa. Saya akan muncul dalam Kami Histeria, tidak lama lagi.