ANTARA babak menarik dalam Sejoli.
Bukan untuk mengajak penonton menangis sebaliknya filem Sejoli
garapan pengarah terkenal Osman Ali mengupas maksud cinta dengan lebih
mendalam, sekali gus mampu menyentuh hati dan jiwa penonton.Selain kekuatan dari segi plot ceritanya, filem genre romantik ini juga mempertaruhkan gandingan pelakon hebat seperti Maya Karin, Bront Palarae, Remy Ishak dan Izara Aisyah.
Selaku pengarah, Osman berkata, dia mendapat idea menghasilkan filem itu ketika melancong ke Bangkok, Thailand tahun lalu.
“Sepanjang perjalanan, saya perhatikan ragam pasangan yang melancong ketika itu. Bila melancong ke negara orang, kita akan berjumpa dengan ramai kawan baru.
“Bermula dari situlah saya dapat inspirasi untuk kembangkan kisah cinta yang tidak dijangka antara Gina dan Joe ketika bercuti di Bangkok itu,” katanya.
Berkongsi pemilihan barisan pelakon pula, kata pengarah yang dikenali menerusi filem Cun dan Ombak Rindu itu, ia diputuskan hasil perbincangannya dengan penerbit filem berkenaan iaitu Grand Brilliance.
“Pemilihan Maya untuk pegang watak utama sebagai Gina kerana saya sudah ada pengalaman bekerja dengannya sebelum ini.
“Kali ini, karakter Maya sebagai Gina berbeza daripada filem lakonannya dalam Ombak Rindu, Cun ataupun Anak Halal.
“Maya pegang watak Gina yang selamba, agak kasar dan menghiburkan.
“Saya juga puas hati dengan lakonan Maya kerana dia bekerja keras untuk menjiwai wataknya hingga terbawa-bawa karakter Gina walaupun penggambaran filem ini sudah lama berakhir,” katanya.
Begitu juga pemilihan Bront dan Remy dalam filem itu.
“Saya sudah ada pengalaman bekerja dengan Bront dan Remy dalam filem sebelum ini.
“Jika sebelum ini, Bront banyak bawa watak drama berat, tetapi kali ini penonton nampak dia sebenarnya ada ‘sense of humor’ dan mampu buat cerita komedi romantik.
“Karakter Remy juga berbeza dari lakonannya sebelum ini.
“Seperti Bront, Remy yang sering bawa watak drama berat juga sebenarnya mampu buat penonton ketawa dan terhibur dalam cerita ini,” katanya.
Bagaimanapun, kata Osman, pada peringkat awal, dia tidak yakin Izara mampu menjiwai watak Nita dalam cerita itu.
“Ia juga kali pertama saya bekerja dengannya dalam filem.
“Selepas menonton lakonannya dalam drama bersiri Vanila Coklat dan melihatnya berlakon dengan Bront dan Remy, saya nampak dia pelakon baru yang ‘fresh’ serta boleh diketengahkan pada masa depan.
“Tidak ketinggalan, penampilan Dira Abu Zahar dan Azad Jazmin sebagai watak pembantu yang turut membantu mewarnai filem ini,” katanya.
Bagaimanapun, Osman nampaknya tidak terlepas berdepan cabaran untuk merealisasikan filem itu.
“Sebenarnya bukan mudah untuk buat filem genre komedi kerana lebih mudah buat penonton menangis berbanding buat orang ketawa di pawagam.
“Pada mulanya, saya juga bimbang dengan reaksi penonton di pawagam nanti, tetapi gandingan pelakon handalan dalam filem ini nampaknya berjaya menjiwai watak masing-masing dengan baik, sekali gus mampu membuat penonton sedih dan pada masa sama terhibur,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai pembikinan filem itu, kata Osman, filem yang membabitkan kos mencecah RM1.3 juta ini menjalani penggambaran pada Januari tahun lalu.
“Ia membabitkan lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Phuket, Thailand.
“Keindahan Phuket diterapkan secara visual untuk melengkapkan skrip dan penceritaan filem ini,” katanya.
Ditanya kenapa filem itu mengambil masa setahun untuk ditayangkan, kata Osman, penerbit ingin memastikan filem itu ditayangkan pada masa yang lebih sesuai dalam keadaan pasaran filem yang suram tahun lalu.
“Pihak kami berharap gandingan pelakon handalan dalam filem Sejoli mampu menarik penonton ke pawagam, sekali gus membuka tirai tayangan filem tempatan pada tahun ini,” katanya.
Sinopsis
Sejoli membawa penonton mengikuti perjalanan Joe (lakonan Bront Palarae) ke Phuket selepas hatinya hancur ditinggalkan kekasihnya Nita (Izara Aishah).
Ketika hendak bertolak ke sana, Joe bertemu dengan Gina (Maya Karin) yang turut ke Phuket selepas ditinggalkan kekasihnya, Hardy (Remy Ishak).
Selepas berlaku beberapa insiden yang turut menyatukan mereka, Gina dan Joe juga mendapat tahu bekas kekasih masing-masing rupa-rupanya hangat bercinta.
Mereka juga berpakat untuk membantu antara satu sama lain untuk melupakan bekas pasangan masing-masing.
Namun, pada masa sama, mereka masih gagal melupakan bekas pasangan masing-masing.
Pelbagai taktik kotor dilakukan Joe dan Gina dengan harapan hubungan Nita dan Hardy akan berakhir dengan bantuan sahabat baik mereka Lola (Dira Abu Zahar) dan Tompy (Azad Jazmin) sehingga tibanya hari pernikahan Nita dan Hardy.
Berjayakah misi yang dilakukan Gina dan Joe untuk memusnahkan kebahagiaan pasangan baru itu?
Dapatkah hubungan cinta yang lama dikembalikan?
Semuanya akan terjawab selepas anda menonton filem ini yang mula menjengah pawagam berhampiran bermula 20 Februari ini.