Thursday, October 2, 2014

Tiada majlis persandingan - Elly Mazlein



KUALA LUMPUR: Selepas berdepan pelbagai spekulasi putus tunang termasuk penundaan tarikh pernikahan, Elly Mazlein akhirnya bakal menamatkan zaman bujangnya dengan pengarah Azmi Hatta pada 9 November depan.

Malah Elly ketika dihubungi sebentar tadi oleh BH Online menyatakan, majlis pernikahan akan diadakan di sebuah surau di Puchong, jam 11 pagi diikuti dengan jamuan makan.

"Ketika ini, persiapan kahwin kami sudah 80 peratus siap. Sehari sebelum bernikah, majlis berinai pada sebelah malam akan diadakan di kediaman keluarga di Puchong," kata Elly yang ketika ini sedang melunaskan penggambaran drama Cinta Ibadah yang bersiaran di Astro.

Ditanya pemilihan tarikh pernikahannya itu, Elly menjawab: "Tiada simbolik pun mengapa tarikh itu dipilih. Cuma ia berlangsung pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad, lalu ia memudahkan ahli keluarga kami masing-masing untuk memeriahkan majlis."

Mengenai tiada majlis persandingan, Elly menjelaskan majlis pernikahannya hanya akan ada pelamin tajaan Karma Sutra manakala pemilihan surau berkenaan juga kerana pusara arwah ibunya, Sabariah Yoon terletak berdekatan.

"Majlis nikah ini pun macam majlis kahwin orang lain. Cuma tak ada persandingan saja. Masih ada paluan kompang dan kumpulan marhaban. Boleh dikatakan ia sangat sederhana dan ringkas.

"Selepas akad nikah, Insya-Allah kami dan tetamu akan berarak ke pusara Mama. Saya dan bakal suami akan memohon restu dan sama -sama dengan hadirin sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah sebelum menjamu selera.

"Elly juga akan bersama teman media untuk sesi temubual dan majlis nikah tak jemput ramai kerana tempat yang agak terbatas," katanya.

Elly nekad untuk tidak melakukannya kerana baginya majlis pertunangan mereka yang berlangsung pada 29 Mei 2011 lalu sudah mencukupi baginya.

"Bakal suami pun memahami. Cukuplah majlis nikah nanti hadirin yang datang dapat mendoakan kesejahteraan kami. Saya pun tak sabar lagi nak menjadi seorang isteri, cuma dalam gembira perasaan sedih itu ada bertandang kerana Mama sudah tiada untuk menyaksikannya.

"Ikut perancangan asal sewaktu Mama masih hidup dan ketika perbincangan kahwin diadakan, memang ada dewan bersanding. Tapi ia sudah dibatalkan. Tetapi Elly tetap seronok kerana menu makanan yang akan disajikan tetamu nanti adalah dipilih sendiri oleh arwah Mama semasa hayatnya. Antaranya seperti acar dan ayam masak merah yang menjadi kegemaran Elly," katanya.

Tambah Elly lagi, mengikut jadual asalnya, majlis pernikahan mereka diadakan pada 12 Februari tahun depan bersamaan tarikh hari lahir Azmi namun selepas pemergian ibunya mereka bersepakat untuk mempercepatkannya.

"Azmi pun nak jaga Elly dan abah. Perancangan nak nikah September lalu pun tak dapat sebab masing-masing sibuk. Akhirnya November menjadi pilihan. Kami pun tak mahu ubah tarikh lagi," katanya sambil memberitahu bakal suami hanya mendapat cuti dua hari sebelum bernikah dan bersambung dua minggu selepas pernikahan.

Elly memberitahu oleh kerana Azmi masih mempunyai komitmen mengarahkan drama Istikharah Cinta, mereka hanya akan berbulan madu di Malaysia saja dulu. -
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 Berita Semasa
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.