Wednesday, March 5, 2014

produk kecantikan beracun diserbu

Serdang: Sembilan kilang dan stor haram serta lapan premis pengedar utama sebuah syarikat produk kecantikan beracun diserbu Cawangan Penguat Kuasa Farmasi (CPF) Selangor, semalam.

Dalam serbuan serentak jam 12 tengah hari di Seri Kembangan, Puchong, Klang dan Kuala Lumpur itu, kira-kira 20 jenis produk pelangsingan badan dan perangsang seks yang dipercayai dicampur racun bernilai RM1.5 juta dirampas.

Difahamkan, syarikat berkenaan pernah diserbu pada 2010 manakala pemiliknya sudah dikenakan tindakan mahkamah dan dilarang menjual produk berkenaan.

Bagaimanapun, dia kembali aktif beberapa bulan kemudian dengan lokasi berbeza, malah premis berkenaan didirikan secara haram dan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Foto
ANGGOTA penguat kuasa farmasi memunggah barang rampasan.

Serbuan dilakukan 100 pegawai Cawangan Penguat Kuasa Farmasi Selangor dan dibantu pegawai 14 cawangan penguat kuasa kementerian seluruh negara selain tiga anggota polis diketuai Timbalan Pengarah Farmasi Selangor, Jaafar Lassa.

Menurut Jaafar, pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai aktiviti pengilangan dan pembungkusan syarikat itu sebelum melakukan risikan selama enam bulan.

“Kali ini mereka mendirikan kilang dan stor haram di lokasi lain malah premis berkenaan juga sukar dikesan kerana tidak mempunyai papan tanda selain sentiasa berkunci.

“Ketika serbuan semua pekerja yang kebetulan keluar untuk makan tengah hari melarikan diri sebaik ternampak kenderaan penguat kuasa berhenti di depan premis berkenaan.

“Hasil ujian makmal dilakukan ke atas serbuk putih ditemui di dalam premis ini mendapati ia racun jenis Tadanafil dan Sibutramine,” katanya.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 Berita Semasa
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.