Ketegasan Bay juga terserlah apabila pada satu ketika, dia mengusir seorang kru produksi dari set penggambaran kerana gagal menyempurnakan tugas mengikut kehendaknya. Lelaki berseluar pendek dan bertopi koboi itu berlalu dengan mulut mengomel dan merungut, kononnya mahu balik ke Amerika Syarikat kerana tidak puas hati.
Menyaksikan sendiri Mark Wahlberg berlakon sebagai hero dan bertemu dengan pengarah tersohor dunia, Michael Bay ketika mengarahkan filem Transformers: Age of Extinction (Transformers 4) di lokasi penggambaran adalah peluang yang jarang kali muncul.
Bersua dengan pelakon dan pengarah terkemuka Hollywood itu saja sudah menjadi satu keseronokan, apa lagi diberi peluang menyaksikan mereka berlakon dan mengarah dalam filem hebat Transformers 4 yang kos pembikinannya ratusan juta dolar Amerika.
Sepanjang seharian di set penggambaran, dapat diperhatikan ketelitian dan ketekunan Bay ketika berusaha mendapatkan shot terbaik. Kebanyakan babak membabitkan rakaman berulang kali. Malah, ada babak yang memerlukan hampir 20 ‘take’ atau ulangan hingga 20 kali rakaman, selain penggunaan helikopter dan kren untuk mendapatkan sudut panda-ngan dari atas.
Bayangkan, aktres utama Nicola Peltz dan ‘teman lelakinya’ Jack Reynor perlu duduk dalam kereta Chevy Camaro hampir dua jam semata-mata kerana Bay mahu dapatkan shot dengan ekspresi dan emosi terbaik. Ada ketikanya Bay mengambil alih kamera daripada jurukamera dan merakamnya sendiri.