Friday, July 10, 2015

Pendedahan Akaun Rosmah


PETALING JAYA: Pasukan Petugas Khas yang bertanggungjawab menyiasat dakwaan Sarawak Report memberitahu mereka sudah tahu tentang deposit RM2 juta ke akaun milik Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut mereka, siasatan tentang perkara itu sedang dijalankan.

"Berkaitan dengan pendedahan media mengenai akaun isteri Perdana Menteri, perkara itu sememangnya sudah diketahui oleh Pasukan Petugas Khas sebelum pendedahan itu dan siasatan mengenainya sedang dikendalikan," kata pasukan tersebut.

Perkara itu diberitahu melalui satu kenyataan bersama pasukan terbabit yang dianggotai oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Sebelum ini portal Sarawak Report menyiarkan satu laporan yang mendakwa sejumlah wang RM2 Juta telah didepositkan ke sebuah akaun Affin Bank Berhad yang dikatakan milik Rosmah.

Mengulas tentang ketelusan siasatan yang dijalankan oleh mereka terhadap isu ini, pasukan tersebut berkata ia dijalankan dengan telus, bebas dan professional.

"Sehubungan itu, Pasukan Petugas Khas berharap semua pihak tidak mempersoalkan kewibawaan Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia  dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam mengendalikan tugas dan fungsi mereka dalam siasatan ini," katanya.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 Berita Semasa
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.