Memiliki anak perempuan adalah
amat berbeza dengan anak lelaki. Lebih-lebih lagi apabila anda mempunyai
hanya seorang anak perempuan sahaja didalam keluarga.
Bagi kaum ibu, anak perempuan
lebih dekat dengan mereka. Anak perempuan ini bagaikan cermin bagi diri
mereka. Pasti boleh berkongsi minat yang sama, bakat yang sama dan
pendapat yang sama. Bagai kawan baik!
10 perkara yang patut anak
perempuan anda tahu sebaik sahaja mereka berusia 10 tahun. Penting bagi
ibu bapa mengetahui perkara ini kerana bak kata pepatah, “pelajaran
terbaik bermula dari rumah”.
1. BETAPA ANDA MENYAYANGINYA
Tidak kira sebanyak mana anda
tidak sependapat dengannya, segarang manakah anda atau sesibuk mana pun,
pastikan dia tahu, dia adalah insan yang terpenting bagi anda.
2. BAGAIMANA UNTUK MEMASAK
Lumrah perempuan, perempuan
sepatutnya tahu memasak walau jenis masakan yang terpaling mudah. Mudah
untuk persediaan apabila dewasa. Sebaik sahaja berumur 10 tahun, anak
perempuan anda sepatutnya sudah pandai menyediakan makanan yang mudah
seperti roti bakar, telur dan sandwich. Teringat sewaktu kecil, ibu saya
sering membenarkan saya bermain dengan lebihan bahan masakannya. Saya
akan berangan bagai sedang memasak. Lama kelamaan, menjelang 10 tahun,
alhamdulillah saya sudah pandai menggoreng sayur yang mudah. Waktu itu,
seronok sangat perasaan. Bagaikan saya sudah mampu menggalas
tanggungjawab yang besar.
3. PERUBAHAN TUBUH BADAN DAN APA PATUT MEREKA TAHU
Perubahan fizikal anak perempuan
masih menjadi taboo dalam masyarakat kita. Kebanyakan ibu bapa segan
untuk mendedahkan anak perempuan mereka berkenaan isu ini dan
berharapkan guru di sekolah. Lebih baik sekiranya ibu bapa menjelaskan
sendiri perkara ini berbanding mereka mendapat tahu sendiri dari
kawan-kawan. Dikhuatiri, maklumat yang mereka peroleh sendiri adalah
salah dan bersifat negatif. Dedahkan pada anak perempuan anda, satu hari
nanti, mereka akan datang haid. Waktu itu menandakan mereka sudah
dewasa. Saya sendiri semasa kali pertama didatangi haid, berasa takut
dan terkejut. Saya yakin, sekiranya saya diberi pendedahan lebih awal,
saya akan lebih mudah menerima dan mengawal situasi tersebut. Dedahkan
pada anak perempuan anda akan perubahan fizikal yang akan berlaku dan
ingatkan pada dia jangan benarkan sesiapa menyentuh tubuh badannya
walaupun ahli keluarga lain.
4. BATAS-BATAS AGAMA
Ramai ibu bapa percaya, agama
biarlah anak-anak belajar disekolah. Sedangkan, seelok-eloknya, ibu bapa
sendiri mendidik anak perempuan mereka akan batas-batas agama. Ibu bapa
perlu menitikberatkan isu solat, aurat dan batas-batas pergaulan.
Tekankan pada pada anak perempuan anda, tengtang betapa pentingnya
menjaga nilai agama. Saya percaya, dengan teguhnya ajaran Islam dan iman
sejak kecil, anak perempuan anda akan lebih pandai menjaga diri di luar
nanti. Beliau akan lebih pandai membezakan mana yang baik, dan mana
yang buruk. KIta pasti tidak mahu anak perempuan kita menjadi seperti
orang lain yang hanya Islam pada nama. Mereka lahir dalam Islam, tetapi
nilai Islam tidak diketahui akibat kecuaian ibu bapa dan masyarakat
sekelilingnya. Namun begitu, kita perlu ingat, jangan hanya sekadar
mendidik, kita juga harus menjadi contoh yang baik pada mereka. Barulah
lebih mudah untuk mereka ikuti. Saya percaya, anak merupakan cermin pada
diri kita.
5. HAKIKAT KEHIDUPAN
Usia 10 tahun sudah cukup untuk
mereka mengetahui hakikat sebenar kehidupan. Tidak perlu isu yang berat
dan terperinci. Cukuplah sekadar yang dapat mereka fahami. Sebagai
contoh, isu Palestin di Gaza. Saya berpendapat, anak-anak tidak
seharusnya diabaikan untuk memahami isu ini hanya kerana mereka dianggap
masih muda. Jelaskan apa sebenarnya yang berlaku, dan berikan mereka
ruang untuk menyatakan pendapat mereka berkenaan isu ini.
6. TIDAK SEMUA BERNASIB BAIK SEPERTINYA
Anak perempuan anda patut tahu
bahawa tidak semua orang bernasib baik sepertinya. Tidak semua rakan
sebaya dengannya pernah merasa makan malam di restoran. Tidak semua
rakan sebayanya mempunyai baju sekolah hampir 3 pasang. Tidak semua
orang mempunyai anggota badan yang cukup sepertinya. Galakkan mereka
bersedekah walaupun 20 sen sama ada di masjid, surau, tabung kemanusian
atau dimana sahaja. Teringat zaman kanak-kanak dahulu, saya sukakan cara
ibu saya menggalakkan kami bersedekah. Apabila ke masjid atau pasar,
beliau akan memberikan saya wang untuk dimasukkan ke dalam tabung
tersebut sambil menjelaskan kebaikan menderma. Lama kelamaan, saya
sendiri terdorong untuk meletakkan sedikit dari wang perbelanjaan
sekolah saya. Kepuasan kerana dapat menderma dengan wang sendiri tidak
dapat digambarkan dengan kata-kata. Latih anak anda bersifat sering
ingin membantu walaupun rakan sebaya mereka dalam kesusahan. Sesekali di
hujung minggu, bawa anak perempuan anda ke rumah anak yatim, rumah
orang tua atau zoo untuk menjadi sukarelawan. Selain dapat menghabiskan
masa berkualiti bersamanya, anak anda akan memperoleh pengalaman baru
sekaligus memupuk sifat suka membantu dalam diri mereka. Mulakan dengan
perbuatan kecil pun tidak mengapa. Sebagai contoh, setiap kali lepas
makan di restoran, cuba untuk mengemas serba sedikit agar memudahkan
pelayan restoran mengangkatnya nanti. Jika kita lakukannya, pasti
anak-anak akan turut mengikut. Ingatkan pada anak-anak “sekiranya kita
sering membantu atau memudahkan urusan orang lain, inshaAllah di masa
hadapan Allah akan membantu dan memudahkan urusan kita melalui orang
lain”. Ingat, pelayan restoran juga adalah manusia. Jadi tidak ada
salahnya kita boleh meringankan beban mereka.
Daripada Mus’ab bin Abu Waqas r.a
katanya: “Saad merasakan dirinya mempunyai kelebihan daripada orang
lain”. Maka Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Kamu tidak ditolong dan
diberi rezeki melainkan dengan (sebab) adanya orang yang lemah
(dikalangan kamu).” – hadith riwayat Bukhari
7. SETIAP KEMAHUAN HARUS DIIRINGI DENGAN USAHA
Akhir-akhir ini, saya dapati
anak-anak sering dilimpahi dengan pelbagai kemewahan. Umur masih belum
genap setahun, tetapi masing-masing mempunyai ipad tersendiri. Mewah.
Apa sahaja yang diminta, pasti akan dipenuhi ibu bapa. Bukan kesalahan
sebenarnya, memenuhi permintaan anak. Kita sebagai ibu bapa, pasti
mahukan yang terbaik buat mereka. Kita pasti mahukan mereka menikmati
perkara yang tidak mampu kita perolehi dulu. Tidak salah. Tetapi secara
peribadi saya berpendapat, anak-anak perlu dijelaskan bahawa bukan mudah
untuk mencari rezeki. Didik anak-anak untuk menabung sejak kecil demi
membeli barang yang mereka mahu. Apabila wang belanja sekolah diberi,
galakkan mereka menyimpan sebahagian dari wang tersebut untuk masa
hadapan. Selain itu, hadiahkan barang impian mereka, hanya apabila
mereka berjaya mencapai pencapaian tertentu. Sebagai contoh, hadiahkan
basikal apabila mereka berjaya khatam 30 juzuk al-Quran, atau apabila
memperoleh No 1 dalam pelajaran. Dengan cara ini, anak-anak akan lebih
kuat berusaha. Jadikan mereka rasa bahawa setiap usaha mereka berbaloi
dan membanggakan kita.
8. PENAMPILAN ADALAH PENTING
Dia seharusnya tahu berkenaan
bagaimana untuk menjaga penampilan dan pakaian yang sesuai untuk majlis
atau acara tertentu. Sewaktu kecil, saya sering dipengaruhi dengan gaya
dan penampilan abang-abang saya. Saya sering memberontak setiap kali
dipakaikan baju kurung, kerana hati kecil saya terasa mahu memakai
seluar dan t-shirt seperti abang-abang saya. Namun setelah dinasihatkan
dengan lemah lembut oleh ibu saya, lama kelamaan saya boleh menerima
bahawa saya tidak sesuai berpakaian seperti mereka. Berbincang dengan
lemah lembut dan bertolak ansur dengan anak perempuan anda pasti boleh
membuatkan mereka mudah menerimanya. Jangan dipaksa! Hati mereka akan
mudah tersentuh dan mereka akan lebih terdorong untuk memberontak.
9. PENGARUH RAKAN SEBAYA
Lumrah perempuan, pasti akan ada
banyak disertai drama. Beritahu anak perempuan anda supaya menjauhi
kumpulan yang sibuk bercerita berkenaan orang lain, kerana mereka pasti
akan bercakap mengenai dia juga. Pupuk sifat yakin pada diri dan tegas
dengan pendirian beliau. Dengan cara ini, anak perempuan anda tidak akan
mudah terikut-ikut dengan rakan sebaya. Seawal sekolah dahulu, saya
sendiri mempunyai kawan yang gemar mengajak saya ponteng sekolah dan
merokok! Sekiranya anak perempuan kita tidak tegas pendirian, dia pasti
akan mudah mengikut ajakan rakan. Jangan terlupa, anak-anak penuh dengan
sifat ingin tahu. Tidak mustahil mereka akan mudah terpengaruh hanya
kerana sifat ingin tahu yang kuat. Didik anak perempuan anda supaya
berani untuk melaporkan salah laku atau kes buli yang extreme berlaku
disekelilingnya.
10. HIDUP, BUKANLAH MUDAH
Anak perempuan anda perlu tahu,
akan banyak cabaran yang perlu dia hadapi semakin dia menginjak dewasa.
Ada anak perempuan, yang kelihatan tidak sabar untuk menjadi dewasa.
Sedangkan jauh sekali merek ketahui, hidup ini tidaklah seindah yang
disangka. Hidup ini bagaikan roda, kadang kala kita berada di atas, dan
kadang kala kita berada di bawah. Didik mereka supaya sering bersyukur,
dan menghargai nikmat yang ada disekelilingnya sekarang – kerana kita
tidak tahu, selama manakah Allah meminjamkan nikmat tersebut pada kita.
Pastikan mereka tahu, mereka harus sentiasa bersedia dengan dugaan yang
bakal ditempuh, kerana dugaan tersebut datangnya kerana kasihnya Allah
pada diri kita.
Mengetahui 10 perkara ini
membolehkan anak perempuan anda memulakan zaman awal remaja dengan
permulaan yang baik. Dengan keadaan zaman serba moden ini, anak-anak
perempuan berada di luar rumah walau seketika pun mampu membuatkan ibu
bapa berasa risau dan susah hati.
Kerana kita sebagai ibu bapa pun
tahu betapa bahayanya di luar sana. Tetapi tidak realisitik sekiranya
kita mahu mengongkong dan menyekat kebebasan mereka setiap masa kerana
ini akan membuatkan mereka lebih memberontak.
Oleh itu, persiapkan anak anda
dengan ilmu dan pengetahuan secukupnya. Selepas tanggungjawab kita
tertunai, inshaAllah yang selebihnya kita serahkan kepada Allah untuk
menjaga mereka.