Friday, February 21, 2014

Umno pecat 5 ahli


Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Lembaga Disiplin Umno memecat lima ahli parti atas pelbagai kesalahan disiplin semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), berkuat kuasa serta merta, kata Presiden Umno Datuk Seri Najib
Tun Razak hari ini.

Beliau berkata antara kesalahan mereka adalah menjadi penceramah dan berkempen untuk pembangkang serta sabotaj parti semasa PRU13.

Lima anggota itu ialah Bahrim Abdullah dari Umno Bahagian Kuala Pilah, Abdul Mohsin Sharif dan Mohd Amri Che Ad (Bahagian Tasik Gelugor), Hasan Bahri Mat Isa (Jempol Palong 15) dan Mohd Zulkifli Zakaria (Bachok).

"Mereka telah dimaklumkan. Ada tempoh untuk membuat rayuan. Mesti ada edah namun terpulang kepada Lembaga Disiplin untuk meneliti rayuan itu," kata perdana menteri dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Najib berkata mana-mana anggota Umno yang bertanding sebagai calon bebas akan dipecat daripada parti dan tidak akan diterima keanggotaannya selama-lamanya.

Najib turut memaklumkan bahawa persidangan cawangan Umno akan bermula 1 April hingga 18 Mei, manakala mesyuarat perwakilan bahagian dan perhimpunan agung akan dimaklumkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi akan datang.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata pendirian Umno adalah jelas dan tegas sebagaimana disebut dalam perhimpunan agung bahawa Umno tetap berpegang pada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Sebarang kefahaman atau ideologi yang menyeleweng dan bertentangan dengan ahli sunnah adalah ditolak sama sekali. Ini termasuk usaha memperlekeh dan meremeh hadis Nabi Muhammad yang merupakan sumber hukum syariah tertinggi selepas al-Quran.

"Ini sejajar dengan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kita akan berpegang kepada prinsip itu," katanya.

Dalam Seminar 'Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian' pada 15 dan 16 Febuari di Putrajaya, Kassim dilaporkan mengkritik golongan ulama Islam yang disifatkan sebagai 'kasta paderi' dan mendakwa Nabi Muhammad tidak perlu dimuliakan, serta rambut wanita bukannya aurat. - Bernama
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 Berita Semasa
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.