Bandar Seri Begawan: Sultan Brunei,
Sultan Hassanal Bolkiah menyuarakan kemurkaan dan mengarahkan pengguna
media sosial berhenti mengkritik rancangan beliau untuk memperkenalkan
undang-undang syariah di negara itu.
Hassanal, salah seorang individu terkaya
dunia pada, Oktober lalu mengumumkan bahawa Brunei akan melaksanakan
undang-undang syariah seperti sebatan, pemotongan anggota badan serta
hukuman rejam sampai mati mulai 1 April ini.
Tindakan cetus kritikan
Tindakan itu mencetuskan kritikan
daripada media sosial, satu-satunya kaedah rungutan awam membabitkan
pihak berkuasa negara itu dengan tindakan mempersoalkan Sultan
dielakkan.
Dalam titah ucapan hujung minggu lalu, Hassanal memberi amaran keras kepada pengkritik beliau.
“Mereka tidak boleh dibenarkan melakukan
penghinaan ini tetapi jika ada elemen yang membolehkan mereka dibawa ke
mahkamah, mereka akan menjadi yang pertama merasai pelaksanaan Perintah
Kanun Keseksaan Syariah pada April,” katanya menurut salinan ucapan
yang diterbitkan media kerajaan.
Beliau tidak memperincikan bagaimana pengguna media sosial boleh didakwa di bawah undang-undang Islam itu. Sultan kekal sebagai individu amat dihormati di negara 400,000 penduduk itu yang menikmati taraf hidup tertinggi di Asia.
Bagaimanapun, beberapa minggu lalu
perdebatan internet berlaku membabitkan penyokong undang-undang
berkenaan dan mereka yang amat bimbangkan pelaksanaannya.
“Amat menakutkan untuk memikirkan kami
mungkin direjam dengan batu sehingga mati kerana menyintai atau didenda
kerana meminati sesama jantina dan pakaian kami turut dikawal,” kata
satu kiriman internet.
Brunei mempunyai penggunaan dan kadar
penembusan media sosial terbesar dunia. Undang-undang syariah
memperuntukkan hukuman mati kepada zina, potong tangan kerana mencuri
serta sebatan dalam kesalahan seperti pengguguran, minum arak dan
homoseks.
Negara itu melaksanakan ajaran Islam
konservatif berbanding jiran Islamnya, iaitu Malaysia dan Indonesia
dengan mengharamkan jualan arak dan mengehadkan agama lain.
Ia juga mempunyai dua sistem
perundangan, iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang
mengendalikan kes perkahwinan, pewarisan harta dan banyak isu kecil
lain. – AFP