Saturday, February 22, 2014

Nasib primadona...

Erra Fazira 
 Erra Fazira
 
TERNYATA, apa tertulis dalam bait lagu, Yang Terindah Hanyalah Sementara, nyanyian, Erra Fazira, ini lebih dekat untuk menggambarkan situasi dirinya.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul apabila rumah tangga yang dibina lebih enam tahun lalu berkecai akhirnya.

Tidak perlu menuding jari pada Erra mahupun bekas suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin, kerana hanya mereka tahu apa yang berlaku di sebalik perpisahan ini.

Walaupun ia adalah keputusan bersama (bercerai), namun air mata juga yang menjadi jawapan kepada gelojak jiwa, Primadona Melayu ini.

Ketenangan yang dipamerkan ketika Engku Emran melafazkan cerai hanyalah pandangan luaran sahaja kerana yang pasti, jiwa wanita ini juga turut menangis.

Lebih memilukan, perpisahan ini juga menjadikan Erra sepi sendiri apabila hak jagaan untuk anak tunggalnya, Engku Aleesya, turut diserahkan kepada bekas suami.

Terpaksa berdepan dengan masyarakat yang sentiasa dahagakan penjelasan, kisah penceraian ini juga turut menjadi bahan cerita malah, ada yang cuba mempersendakannya di internet dan laman-laman sosial.

Akui Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 40, gelora, kecamuk, tenang atau gusar, hanya empunya diri yang rasai.

"Saya kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang sering membuat andaian tanpa mengetahui kebenarannya. Ianya amat keterlaluan!

"Sejak awal lagi, saya memang serba salah untuk bercerita. Ramai yang cuba menghakimi perasaan saya. "Mereka tidak lalui apa yang saya lalui, jangan mudah untuk menilai pada pandangan kasar. Tiada siapa yang tahu dalam hati saya," jelasnya.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 Berita Semasa
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.