Monday, February 24, 2014

Lelaki maut, kekasih parah

Lelaki maut, kekasih parah  
Mangsa lelaki yang cedera parah maut di tempat kejadian, manakala kekasihnya kini dirawat di Hospital Taiping.

GUNUNG SEMANGGOL - Seorang lelaki maut, manakala kekasihnya cedera parah setelah motosikal dinaiki pasangan itu terbabas ketika menuruni jalan Bukit Merah Lake Town Resort (BMLTR) dalam kemalangan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, ketika kejadian jam 4.20 petang itu, mangsa, Mohammad Salleh Awang,39, difahamkan datang ke BMLTR untuk menjemput kenalannya yang merupakan seorang pelajar kolej perubatan di sini.

Menurutnya, mereka dipercayai sedang menuruni jalan curam di kawasan itu sebelum motosikal ditunggang mangsa terbabas lalu terperosok ke dalam longkang kecil berhampiran lereng bukit.

“Berdasarkan keterangan saksi, seorang lelaki dan wanita berusia 26 tahun dilihat terbaring di atas jalan raya dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

“Mangsa lelaki yang berasal dari Kuala Kurau maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badannya.

“Manakala mangsa wanita yang turut cedera parah di bahagian kepalanya kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Taiping,” katanya ketika dihubungi media, semalam.

Mat Fauzi berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yahama 125Z terbabas dengan sendiri sewaktu menuruni jalan bukit yang curam itu.

Menurutnya, sebaik tiba di satu selekoh jalan, mangsa dipercayai tidak dapat mengawal motosikal ditunggangnya dan terbabas ke bahagian bahu jalan.

“Mangsa difahamkan tercampak ke bahagian tepi jalan bersama kenalan wanitanya. Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian kemudiannya dihantar ke Hospital Parit Buntar sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Kes disiasat Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 Berita Semasa
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.