Wednesday, February 26, 2014

Guna syampu terlalu kerap berbahaya?

Guna syampu terlalu kerap berbahaya? 
Syampu komersial dikatakan pengkritik memberi keburukan lebih daripada manfaat. - Gambar hi

MINGGU lepas penulis menyentuh bagaimana keadaan kelemumur semakin buruk berpunca daripada penggunaan syampu secara terlalu kerap atau syampu yang tidak sesuai.

Ia dipercayai punca sebum dikeluarkan lebih banyak lalu menyebabkan kelemumur menjadi semakin tebal.

Sebum ialah minyak yang dikeluarkan oleh kelenjar sebum. Ini bertujuan membantu melembapkan kulit kepala dan rambut. Terdapat kajian yang mengaitkan kehadiran sejenis kulat dikenali sebagai Malassezia globosa yang memetabolisme trigliserida sebum menjadi asid oleik.

Malassezia globosa adalah sejenis  spesies menghuni kulit kepala individu yang berkulit kepala sihat dan berkelemumur.

Asid oleik akan bertindak balas lapisan kulit kepala paling luar dan akan menimbulkan keradangan. Ia seterusnya menyebabkan sel kulit kepala mati. Dianggarkan jumlah kulat tersebut bertambah antara 1.5 - 2 kali ganda daripada paras biasa pada kulit kepala yang berkelemumur.

Jadi, individu mengalami sel kulit kepala terlalu sensitif kepada asid oleik yang dikeluarkan oleh kulat ini dipercayai akan mengalami kelemumur lebih tebal dapabila menggunakan syampu terlalu kerap atau jenis syampu yang tidak sesuai. Anggaran setiap kali penggunaan detergen (surfaktan atau gabungan beberapa jenis surfaktan) akan menyebabkan 500,000 sel kulit kepala bagi setiap sentimeter persegi tanggal daripada kulit kepala.

Pada keadaan tertentu, seseorang mengalami kelemumur yang teruk bilangan sel kulit kepala yang tanggal dianggarkan mencecah hingga 800,000 bagi setiap sentimeter kulit kepala. Jadi, penggunaan syampu bukan sahaja menyebabkan sel kulit kepala yang mati sahaja tanggal malah  sel yang segar juga mengalami nasib yang sama.


Faktor keselamatan

Sesetengah pemerhati/pengkritik berpendapat penggunaan syampu jangka panjang menyebabkan bahan syampu masuk ke dalam tubuh. Dua bahan dipercayai paling menimbulkan masalah ialah surfaktan sodium/ammonium lauryl sulfate (dan sodium laureth sulfate) dan propylene glycol. Sodium/ammonium lauryl sulfate dibimbangi menyebabkan gen bermutasi.

Propylene glycol dibimbangkan akan menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang. Kedua-dua jenis surfaktan dan propylene glycol menyebabkan kulit kepala menjadi lebih kering.

Bahan peneutral seperti monoethanolamine, diethanolamine, dan triethanolamine didapati mengganggu hormon serta membentuk nitrat dan nitrosamine yang menyebabkan kanser. Kesemua peneutral asid lemak dalam pembuatan surfaktan kategori pembentuk buih ini dikaitkan dengan kanser hati dan buah pinggang.

Polyethylene glycol (PEG) dikenalpasti berpotensi sebagai bahan karsinogen. Beberapa jenis paraben iaitu bahan awet yang biasa digunakan didapati bersifat mengganggu fungsi hormon selain beracun.

Bahan pewangi (pada label disebut fragrance) dipercayai menyebabkan hiperaktiviti, keradangan kulit, mudah meradang dan sakit kepala.

Bahan kimia seperti surfaktan (sodium laureth sulfate, sodium/ammonium lauryl sulfate), cocamide (yang mempunyai awalan monoethanolamine, diethanolamine, triethanolamine) dan pelbagai bahan awet (termasuk paraben) dipercayai bersifat xenoestrogen (estrogen samada semulajadi atau sintetik berasal dari luar tubuh, dikaitkan dengan pembentukan kanser payudara dan kelainan keperibadian contohnya lelaki berperwatakan dan bersifat wanita).

Golongan pemerhati/pengkritik tetap berpendapat kajian saintis adalah kajian jangka pendek. Mereka percaya penggunaan sebarang jenis syampu komersial jangka panjang boleh menyebabkan bahan yang disebutkan di atas terkumpul dalam tubuh dan menimbulkan masalah kesihatan.

Terdapat pelbagai kajian menunjukkan sodium lauryl sulfate bersifat genotoxic iaitu ia merosakkan DNA - punca kepada mutasi dan seterusnya pembentukan kanser. Walaupun ammonium lauryl sulfate lebih kerap digunakan sebagai surfaktan syampu namun sifat merengsa (iritasi, merosakkan sel) yang rendah dibimbangi pengkritik menimbulkan masalah. Pihak pengeluar mempertahankan surfaktan (dan bahan yang dikhuatiri pengkritik seperti disebutkan di atas) dalam syampu tidak boleh masuk ke dalam tubuh kerana kulit tidak dapat menyerap surfaktan. Pengkritik pula sebaliknya berpendapat surfaktan dan bahan lain boleh masuk ke dalam aliran darah melalui liang peluh!


Peranan air

Penulis percaya sebahagian besar doktor, saintis apatah lagi orang ramai tidak mengetahui bahan kimia boleh masuk ke dalam badan melalui stratum corneum iaitu lapisan kulit paling luar yang berada pada epidermis.

Stratum corneum terdiri daripada sel yang melindungi kulit kepala. Apabila sel ini mati pada kadar berlebihan ia membentuk kelemumur!

Sebarang proses yang menghakis atau merosakkan stratum corneum menyebabkan bahan kimia sintetik (xenobiotic) dari luar masuk ke dalam tubuh dengan lebih muda. Menggaru, menggesek dan luka merupakan proses yang boleh merosakkan atau mengganggu kestabilan stratum corneum. Begitu juga dengan asid, alkali dan bahan-bahan menghakis. Pengurangan sebum yang melindungi kulit kepala juga memudahkan kemasukan xenobiotic.

Air berperanan penting dalam penyerapan. Pada keadaan normal kulit kepala yang terdiri daripada stratum corneum adalah spara terhidrasi dengan purata kandungan air 7 peratus.

Penyerapan bahan berkutub (polar substance) adalah 10 peratus berkesan ketika kulit kepala dalam keadaan benar-benar kering.

Namun apabila ia mengandungi air, apatah lagi ketika menggunakan syampu penyerapan menjadi 3 - 5 kali ganda lebih berkesan!

Xenobiotik juga boleh masuk ke dalam tubuh melalui kelenjar sebum, kelenjar peluh dan folikel rambut (organ kulit yang membina rambut) pada kadar yang lebih rendah.

Jadi, penggunaan syampu walaupun tempoh setiap kali penggunaan adalah singkat ia tetap mendedahkan diri seseorang kepada penyerapan setiap bahan yang terdapat dalam syampu.

Apakah pandangan penulis mengenai penggunaan syampu komersial? Penulis bersetuju kulit, kelenjar peluh, kelenjar sebum dan folikel rambut boleh menyerap xenobiotik termasuk bahan yang terdapat dalam syampu.

Mereka yang biasa guna syampu, maka gunakanlah secara berpada-pada iaitu tidak terlalu kerap seperti sekali atau dua kali seminggu.

Bagaimana dengan syampu badan yang biasa digunakan sekurang-kurangnya dua kali sehari? Bahan utama yang terdapat dalam syampu badan biasanya serupa dengan yang terdapat dalam syampu rambut.

Jadi, penggunaan setiap hari mendedahkan diri kepada kemasukan bahan yang terdapat dalam syampu ke dalam tubuh.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 Berita Semasa
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.