
Orang ramai melihat kereta yang digunakan untuk mencuri empat ekor lembu di Sungai Lembu, Bukit Mertajam. - Foto AZHAR HASHIM
Taktik itu terbongkar apabila kereta berkenaan ditemui di kawasan semak berhampiran Kampung Padang Cina di sini, selepas dipercayai terbabas ketika suspek melarikan diri ketika dikejar pemilik lembu.
Keadaan lemah
Ketika ditemui, ternakan itu berada dalam keadaan lemah, dipercayai kesan ubat pelali serta akibat merengkok hampir dua jam dalam ruang sempit, masing-masing dua ekor di tempat duduk belakang dan but kereta.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Salleh, berkata dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, beberapa penduduk mengesan sebuah kereta di ladang ternakan di Sungai Lembu, sebelum memaklumkan kepada pemiliknya yang berusia 50-an.
Kereta rosak
Mereka kemudian mengekori PROTON Wira yang dinaiki dua lelaki itu sehingga Kampung Padang Cina di sini.
Kira-kira jam 7 pagi, mereka menemui kereta berkenaan dalam kawasan semak, dipercayai ditinggalkan selepas mengalami kerosakan akibat terbabas.
“Pemeriksaan oleh penduduk menemui empat lembu dalam kereta itu. Kami juga menemui beberapa paip plastik dipercayai digunakan untuk menyumpit lembu dengan ubat pelali bagi melemahkan ternakan itu,” katanya.
Ghuzlan berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik kereta itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di talian 04-4906222.