ENJIN yang menerima pembaharuan.
METER kelajuan digital.
EKZOS berkembar.
Mereka yang tidak pernah menunggang motosikal berkuasa tinggi mungkin takut sekiranya diberi peluang menguji model terbaru Kawasaki Z1000 dalam ruangan tunggang uji ini.
Bentuknya yang besar pasti mencetuskan rasa gugup dan tidak yakin buat kali pertama menunggangnya.
Sebenarnya jentera ini sangat mudah ditunggang dan perasaan takut atau bimbang itu boleh dikatakan hanyamainan minda.
Ketinggian penulis hanya mencecah 1.6 meter dengan berat 57 kilogram (kg), namun ia tidak menjadi penghalang untuk menunggang uji Kawasaki Z1000 bersama media lain di Langkawi, Kedah, minggu lalu.
TANGKI kelihatan berotot.
Menunggang uji bersama media berpengalaman, memberi sedikit cabaran kepada penulis yang baru saja berkecimpung dalam kategori jentera dua roda bersesaran melebihi 1000 cc.
Namun, disebabkan pengendaliannya yang sangat mudah, ia tidaklah membuat penulis rasa 'tersisih' atau ketinggalan jauh dalam konvoi terutama ketika memecut laju atau melayan selekoh pada kelajuan tinggi.
Karakter motosikal ini seolah-olah dicipta untuk memudahkan penunggang dengan gaya posisi yang selesa antara tempat duduk dan pemegang pendikitnya.
Jarak lengan antara tempat pemegangnya seperti serasi dengan penulis, sekali gus mudah dikendalikan terutama di kawasan bandar yang dipenuhi kenderaan lain.
Ini terbukti ketika berdepan kenderaan yang sesak ketika melalui Kuah, Langkawi selepas melalui celah kereta dengan kelajuan kurang 30 kilometer sejam (km/j), biarpun beratnya mencecah sehingga 220 kg.
Bagi jentera ini, prestasinya banyak diperbaharui terutama bahagian enjin empat silinder sebaris untuk menyalurkan kuasa yang pantas selepas keluar dari selekoh.
Enjin bersesaran 1,043 cc ini diperbaharui dengan beberapa penambah baik komponen merangkumi blok, pemasaan aci sesondol bagi memberi keselesaan ketika RPM sederhana.
Ketika laluan lurus, jentera ini boleh meluncur laju dengan mudah dari kelajuan 60 hingga 180 km/j tanpa perlu menukar gear dan hanya memulas pendikit secara agresif.
Peningkatan dari RPM rendah kepada tinggi itu adalah impak pembaharuan terhadap blok silinder yang mempunyai penyambung antara keempat-empatnya, selain kotak angin untuk peningkatan penyampaian kuasa berkenaan.
Nisbah kotak gear baru enam kelajuan yang dipadankan sungguh menakjubkan kerana penulis terasa kuasa tarikannya.
Sistem ekzosnya menggunakan sistem baru dengan 4-2-2 yang mempunyai penyambung di bahagian hadapan selepas kawasan blok silinder untuk memberi tindak balas terbaik pada semua peringkat RPM.
Sistem penyaluran udara ke dalam kotak angin juga ditambah baik dengan adanya lubang bersama penapis udara baru di bahagian sisi motosikal.
Pembaharuan itu dibuat untuk memastikan udara kekal stabil pada pusingan RPM tinggi.
Berhubung reka bentuknya pula, pastinya akan terliur sesiapa yang melihatnya. Bagi penulis, rekaan sangat menakjubkan untuk memberi karakter motosikal kategori 'supernaked' yang garang.
Ia secara langsung bersaing dengan beberapa model membabitkan Ducati Streetfighter, KTM 1290 Super Duke R, Aprilia Tuono V4 dan MV Agusta Rivale.
Kawasaki Z1000 ini sebenarnya diilhamkan menggunakan konsep 'Sugomi' yang bermaksud tenaga disalurkan oleh seseorang atau objek yang unggul.
Apa yang menariknya adalah perumah lampu depan selepas ia tampak garang dan diadaptasikan oleh mata harimau kumbang ketika mahu menerkam mangsanya.
Lampu itu dipadankan dengan LED yang menjadi produk pertama Kawasaki menggunakannya.
Jika melihat kepada tangki petrolnya, ia kelihatan sangat unik dengan bentuk berotot sekali gus membuatkan ia tampak garang dan bergaya.
Bagi model terbaru ini, ia juga tidak mengabaikan sistem keselamatannya apabila dilengkapi sistem brek angkup monoblok Tokico yang diperbuat daripada aluminium untuk memberi tindak balas cengkaman lebih baik.
SPESIFIKASI KAWASAKI Z1000:
ENJIN: 1,043 cc, empat silinder sebaris dengan cecair penyejuk
KUASA MAKSIMUM: 142 PS pada 10,000 rpm
TORK MAKSIMUM: 111 Nm pada 7,300 rpm
TRANSMISI: Enam kelajuan manual
KERANGKA: Tiub berkembar aluminium
KLAC: Multi-Cakera basah
BERAT: 220 kg
KAPASITI PETROL: 17 liter
HARGA: Dari RM76,900