
Lelaki ini didenda RM1,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Terengganu, semalam
Lebih malang, lelaki yang berusia 34 tahun dan bekerja sebagai tukang jahit itu turut berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda yang dikenakan.
Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail membuat keputusan itu selepas dia yang masih bujang itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 33 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana orang lelaki berlagak perempuan.
Dia mengaku bersalah berpakaian dan berlagak perempuan ketika ditahan di kawasan kaki lima di Jalan Pengiran Anom 2, di sini, kira-kira jam 2 pagi, 10 Oktober 2013.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Undang-undang dan Pendakwaan Terengganu manakala lelaki tersebut tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa membuat rondaan di kawasan berkenaan sebelum terserempak dengan lelaki itu yang disyaki seorang lelaki berpakaian dan berlagak seperti perempuan.
Hasil pemeriksaan, dia adalah seorang lelaki beragama Islam dan memakai gaun pendek berwarna hitam putih dengan muka disolek sebelum dia ditahan untuk tindakan lanjut.