Lelaki warga asing yang menyorok di atas bumbung rumah diperiksa penguatkuasa Imigresen di Taman Pelangi.
Tukang urut warga China, Vietnam dan Myanmar itu yang berusia antara 27 hingga 32 tahun, bertindak demikian sejurus menerima isyarat daripada penjaga premis terbabit selepas menyedari kehadiran penguat kuasa, kira-kira jam 10 malam.
Mereka yang ketika itu leka melayan pelanggan masing-masing, tidak sempat menyarung semula pakaian apabila menerima isyarat berkenaan.
Bagaimanapun, semua tukang urut terbabit berjaya ditahan.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Johor, Sapian Kamaruddin, berkata ketika serbuan, penjaga premis itu cuba melengah-lengahkan tugas penguat kuasa untuk membuka pintu premis dan pada masa sama kedengaran suara seseorang mengarahkan pekerja terbabit melarikan diri.
“Akibat takut ditahan, mereka melarikan diri ke atas bumbung premis berkenaan tanpa sempat menyarung semula pakaian, namun mereka berjaya dikesan dan ditahan,” katanya.
Dalam Operasi Bersepadu 6P itu, Jabatan Imigresen turut memeriksa 12 lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun dipercayai pelanggan pusat berkenaan.
Tiga kali diserbu
Penguat kuasa turut menjumpai kondom dan minyak pelincir serta album mengandungi gambar lelaki separuh bogel yang disediakan kepada pelanggan.
Semua warga asing itu dibawa ke Depo Tahanan Imigresen Pekan Nanas untuk tindakan lanjut.
Difahamkan, premis berkenaan diserbu tiga kali dalam tempoh dua tahun tetapi masih meneruskan perkhidmatan urut khas untuk gay, yang dikatakan mendapat sambutan menggalakkan.