Friday, February 28, 2014

Bukit Peteri pula terbakar

Bukit Peteri pula terbakar  
Anggota bomba berusaha mengawal kebakaran dari merebak ke lokasi penempatan berhampiran.
 
GERIK – Selesai kebakaran di empat lokasi terawal, bomba kini berdepan pula dengan kes terbaharu membabitkan kawasan hutan seluas 80 hektar di Bukit Peteri di sini berhampiran hutan simpan Papulut.

Ketua Zon Perak Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, negeri, Zainuddin Abdul Rahim berkata, kebakaran yang dikesan bermula kelmarin itu dikhuatiri merebak ke kawasan penempatan Felda Tawai yang berada kira-kira lima kilometer dari lokasi.

Menurutnya, semua anggota terlibat kini terpaksa bertungkus-lumus membina trek laluan untuk operasi pemadaman melalui bantuan Jabatan Perhutanan dan kontraktor pembalakan dengan menggunakan jentolak.

“Setakat ini, kita berjaya mengawal 20 hektar kawasan kebakaran, operasi akan diteruskan hingga malam ini (semalam).

“Kerja pemadaman perlu ditingkatkan, penambahan anggota juga dilakukan kerana lokasi berada hampir dengan penempatan, keadaan cuaca kering memungkinkan api mudah merebak,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehingga jam 4 petang, semalam semua operasi kawalan kebakaran di empat lokasi kebakaran membabitkan Gunung Tujuh, Kuala Kenderong seluas 8 hektar; Kampung Air Bah, Kenering (12 hektar); kilometer 17 Jalan Timur Barat (12 hektar) dan Pulau Banding, Tasik Temenggor (8 hektar), ditutup dengan pemantauan.

Dijangkakan, hari ini kebakaran di Bukit Peteri akan diminimumkan setelah mendapat bantuan pemadaman melalui udara daripada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim).

Zainuddin berkata, bekalan air yang diambil melalui Empangan Temenggor itu diharap membantu mengurangkan risiko kebakaran yang diklasifikasikan agak membimbangkan.

Sebelum ini, hampir 40 hektar kawasan hutan di Gerik membabitkan empat lokasi berasingan terbakar dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran tidak terkawal.

Kebakaran pertama dikesan berlaku sekitar jam 8 malam, Isnin lalu melibatkan tiga lokasi tanaman semula getah, sementara di Pulau Banding dikesan melalui pemantauan udara yang dilakukan sekitar jam 4.30 petang, keesokannya.

Terbaharu, kebakaran di Bukit Peteri berhampiran hutan simpan Papulut dikesan kelmarin berdasarkan aduan orang awam.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 Berita Semasa
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.