Tuesday, December 24, 2013

Syak anak mati didera pusat jagaan

Syak anak mati didera pusat jagaan  
Zuraidah (kiri) mengiringi jenazah anaknya yang didukung suaminya setibanya di Masjid Jamek Sungai Besi. 
 
Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak perempuan mati selepas kira-kira dua jam tidak sedarkan diri di rumahnya di Jalan Sungai Besi, di sini, dipercayai akibat didera.

Kejadian menimpa Nor Ain Natasyha Abdullah, 4, disedari ibunya, Zuraidah Jasman, 31, ketika memanggil anaknya itu makan kira-kira jam 9 malam kelmarin. Ketika kejadian, suaminya tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Zuraidah berkata, melihat keadaan mangsa, dia terpaksa meninggalkan tujuh lagi anaknya berusia antara satu hingga 11 tahun di rumah untuk menghantar Nor Ain ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan teksi.

“Bagaimanapun, anak saya disahkan meninggal dunia oleh doktor kira-kira jam 10.55 malam,” katanya yang tidak menolak kemungkinan mangsa didera ketika dalam jagaan sebuah pusat kebajikan di Kuantan, Pahang.

Kesempitan hidup

“Saya terpaksa menghantar Nor Ain bersama dua abang dan tiga kakaknya ke pusat kebajikan itu sejak tiga tahun lalu kerana kesempitan hidup selepas bercerai dengan suami pertama,” katanya yang menetap di Kuala Lumpur selepas berkahwin lain.
Dia yang mempunyai tiga anak bersama suami baru, berkata enam anaknya yang menghuni pusat kebajikan itu dibawanya pulang ke ibu negara, Ogos lalu selepas anak sulungnya memaklumkan mereka tidak dilayan dengan baik di pusat terbabit.

“Anak sulung memberitahu saya, dia dan adik-adiknya sering dipukul. Selepas dimaklumkan demikian, saya terus ke Kuantan untuk membawa mereka pulang dan tinggal bersama saya di sini,” katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid Sungai Besi, di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, ketika mengesahkan kejadian, berkata hasil bedah siasat menunjukkan punca kematian mangsa akibat didera dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BH difahamkan, kanak-kanak berkenaan meninggal dunia akibat pendarahan di kepala dipercayai kerana hentakan objek tumpul. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Salak Selatan, jam 6 petang semalam.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 Berita Semasa
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.