Monday, December 23, 2013

Fizo bahagia pulang bulan madu

Permatang Pauh: Majlis resepsi pelakon Wan Hafizol Wan Omar atau lebih dikenali Fizo Omar, 28, bersama Mawar Abdul Karim, 24, yang juga anak kepada pengasas tudung jenama Fareeda, Faridah Zakaria yang diadakan pihak perempuan disambut penuh meriah di Butik Fareeda, di sini, semalam.

Fizo yang segak berbaju Melayu biru muda tiba tepat jam 11.30 pagi diiringi lebih 100 penunggang motosikal berkuasa tinggi.

Majlis itu dihadiri lebih 5,000 tetamu termasuk sanak saudara kedua belah pihak.

Bagi Fizo dari Pasir Puteh, Kelantan mengaku teruja dan gembira apabila majlis resepsi itu mendapat sambutan meriah selepas majlis akad nikah yang diadakan serentak dengan tarikh pertunangan mereka di Mutiara Damansara pada 10 November lalu.

Menurutnya, dia memang tidak menyangka akan diraikan dengan penuh meriah oleh pihak perempuan.

Katanya, dia bersyukur kerana semua perancangan dan aturcara berjalan lancar dan selepas majlis resepsi sebelah perempuan itu, akan diadakan dua lagi resepsi bagi pihak lelaki pada 28 Disember di Pasir Puteh dan Kuala Lumpur pada 25 Januari depan.

“Alhamdulillah kami cukup bahagia ketika ini, walaupun baru saja pulang berbulan madu di Eropah dan segala kenangan manis di sana cukup menyeronokkan dalam melayari alam rumah tangga.

“Selepas sah bergelar suami dan kini memikul tanggungjawab pada keluarga di samping kami berdua memiliki satu keluarga yang besar, sekali gus berharap perkahwinan ini akan kekal hingga ke akhir hayat,” katanya yang mengimpikan empat anak.

Bagi Mawar pula, pihaknya berterima kasih dengan kerjasama diberikan oleh semua pihak yang hadir.

Menurutnya, dia mengharapkan semua pihak akan mendoakan kebahagiaan mereka berdua selain berdoa akan dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri serta menjadi seorang isteri yang solehah.


Foto
FIZO dan Mawar pada majlis resepsi pihak perempuan, semalam.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright 2011 Berita Semasa
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.