Showing posts with label BERITA SEMASA. Show all posts
Showing posts with label BERITA SEMASA. Show all posts

Tuesday, February 3, 2015

Nur Syuhada diganggu sejak sekolah

Nur Syuhada   
Nur Syuhada

Nur Syuhada diganggu sejak sekolah
 
JITRA - Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, Nur Syuhada Johari, 20, yang meninggal dunia akibat dikelar seorang kenalan lelaki dalam kejadian di Kilometer 228.2 Leburaya Utara-Selatan berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang, Taiping, kelmarin, sering diganggu suspek sejak zaman persekolahan.

Bapa mangsa, Johari Hashim, 55, mendakwa, anak keduanya daripada enam beradik itu mengenali suspek ketika belajar di sekolah menengah dan tinggal berhampiran rumah mereka.

Malah, ketika Nur Syuhada di tingkatan lima, pemuda itu pernah bertindak ganas dengan memecah pintu rumah untuk membawanya keluar.

“Masa itu, kami dapat tahu suspek seorang penagih dadah dan pernah ditahan polis, jadi saya larang arwah berkawan dengannya. Saya juga pernah buat laporan polis ketika dia bawa lari anak saya.

“Lepas itu, saya dapat tahu budak lelaki ini sudah pergi bekerja di Melaka, kami rasa lega dan harap dia tak ganggu arwah. Tapi dia (suspek) tetap kacau anak saya, dia telefon, kalau tak jawab dia hantar mesej marah-marah dan ugut Nur Syuhada.

“Saya sendiri pernah bagi amaran pada dia supaya jangan ganggu. Bila saya marah dia senyap saja. Tak sangka dia bertindak sampai jadi macam ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cherok Mokkan, Mukim Hosba, di sini, semalam.

Terdahulu, jenazah pelajar Diploma Pengurusan Hotel dan Pelancongan itu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cherok Mokkan kira-kira jam 11 pagi.

Johari berkata, isterinya, Nor Azlina Dawari, 44, menerima panggilan daripada seorang kawan Nur Syuhada mengatakan anaknya itu diugut dengan pisau oleh suspek supaya menaiki keretanya.

“Selepas itu, kami telefon ibu suspek minta dia pujuk anaknya hantar arwah pulang, tetapi ibu suspek kata anaknya tidak menjawab panggilan.

“Tak lama kemudian ayah suspek telefon saya, memaklumkan anak lelakinya itu telefon dan beritahu dia telah tikam Nur Syuhada,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, mangsa dikatakan diculik suspek di kampusnya sebelum ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar dan tikaman.

Difahamkan mereka sebelum itu dilihat pengguna jalan raya sedang bertengkar semasa dalam perjalanan menaiki sebuah kereta Proton Perdana menghala ke arah selatan.

Menceritakan kali terakhir bertemu ketika menghantar anaknya menaiki bas untuk pulang ke kampus baru-baru ini, Johari berkata, kelakuan Nur Syuhada agak pelik berbanding sebelum ini.

“Semasa dia nak naik bas, dia peluk dan cium saya kemudian dia ketawa, nampak dia pelik sikit. Tapi dia memang seorang yang ceria dalam keluarga.

“Kali terakhir saya bercakap dengan dia pula ialah sebelum dia bertolak ke Kelantan tiga minggu lalu untuk sertai misi bantuan banjir di sana. Dia telefon saya. Saya pesan jaga diri elok-elok dan jaga kesihatan.

“Dia turut menelefon isteri saya, bagi tahu suruh simpan duit sebab dia ada program untuk naik kapal pada cuti Tahun Baru Cina,” katanya.

Tambah Johari, pemergian Nur Syuhada dianggapnya sebagai mati syahid kerana anaknya itu cuba mempertahankan diri ketika diperlakukan sebegitu kejam.

“Selepas kejadian semalam (kelmarin), saya telefon Hospital Kuala Kangsar dan dimaklumkan doktor sedang berusaha untuk selamatkan anak saya.


Cucu pandai ambil hati

Sementara itu, nenek tiri mangsa, Rokiah Ismail, 57, berkata, pemergian Nur Syuhada amat dirasai kerana mereka banyak menghabiskan masa bersama kira-kira sebulan lalu.

"Dia ikut saya ke Kuala Lumpur sebulan lalu. Kami jalan-jalan, pergi tengok wayang dan beli-belah. Saya pun seronok sangat dia pandai ambil hati,” katanya yang tinggal di Kelantan.

Tambah Rokiah, selepas pulang dari Kuala Lumpur, Nur Syuhada menyatakan hasrat untuk ke Kelantan dan tinggal di rumahnya bila cuti belajar nanti.

“Walaupun saya nenek tirinya tetapi kami sekeluarga amat rapat. Arwah seorang yang ceria dan selalu menghiburkan kami.

“Saya harap orang yang melakukan perbuatan zalim ke atas cucu saya dikenakan hukuman berat," katanya.

Aiskrim pasu jadi kegilaan

 Pelbagai ramuan dan perasa disediakan dengan hanya RM5 sebekas.

SUNGAI PETANI – Fenomena terbaharu mengubah suai pasu bunga sebagai bekas aiskrim terbukti berkesan apabila sambutan terhadap produk itu mendapat permintaan tinggi.

Pengusaha Butik Gerobok Tuan Tanah, Rozlyanna Basharuddin, berkata, jualan hari pertama mencecah 100 unit melebihi jangkaan sasaran hanya 50 aiskrim.

“Kelainan rasanya membuatkan pelanggan datang semula untuk mendapatkan aiskrim pasu bagi kali kedua dan seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Usahawan muda berusia 26 tahun ini berkata, dia mula mendapat idea menyediakan aiskrim pasu ketika cuba merasai keenakannya di sebuah lokasi pelancongan.

“Sebelum itu, saya mula sediakan ruang untuk vendor mempromosikan barangan mereka di Butik Gerobok Tuan Tanah yang berkongsi bangunan dengan kilang baju Rokiah Garments di Taman Bandar Baru, Sungai Petani (terletak di belakang Institut Kemahiran Mara).

“Bagaimanapun, apabila memikirkan cara untuk tarik pelanggan ke butik vendor ini, kami cuba sediakan sesuatu yang berlainan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menyangka sambutan begitu menggalakkan sehingga kini mencecah 500 aiskrim pasu berjaya dijual sehari.

Katanya, bagi melancarkan urusan, suami, Mohd Ridhaus Irffan, 26, dan adik lelaki, Rozaimy, 24, turut membantunya kerana tidak menang tangan dengan tempahan pelanggan.

Sunday, January 18, 2015

Angah Raja Lawak kini tunangan orang

Gambar yang dimuatnaik Angah menerusi laman Instagram miliknya. 
Gambar yang dimuatnaik Angah menerusi laman Instagram miliknya.
 
PELAKON komedi tanah air, Iskandarsah Hashim atau lebih mesra dikenali dengan Angah Raja Lawak selamat melangsungkan pertunangannya dengan seorang gadis pilihannya yang hanya dikenali sebagai Wawa, semalam.

Foto majlis pertunangannya itu kemudiannya dimuatnaik menerusi laman Instagram dan akaun Facebooknya untuk dikongsikan bersama peminat yang selama ini mengikuti perkembangannya.

“Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar.. Doakanlah semoga dipermudahkan segala urusan yang bakal buat kami yang bakal mendatang.. Amin InsyaALLAH.. Dan terima kasih kepada semua yang menghadiri majlis pertunangan kami tadi.. Saya sayang kamu semua,” katanya seperti yang dipetik di laman Instagramnya.

Kapsyen gambar tersebut turut disertakan hashtag @asyura_king,  #DoakanKami, #EDay dan #AngahWawa.

Ternyata detik kegembiraan milik Angah dan pasangan yang dikongsi melalui laman sosial turut mendapat reaksi positif dari rakan dan peminatnya.

Rata-rata teman dan peminat setia Angah mengucapkan tahniah dan mendoakan pasangan itu supaya cepat-cepat melangsungkan pernikahan.

Thursday, December 18, 2014

Gara-gara hadiah telefon pintar

Selvaratnam menunjukkan gambar isterinya yang menghilangkan diri sejak dua bulan lalu. 
Selvaratnam menunjukkan gambar isterinya yang menghilangkan diri sejak dua bulan lalu.

MANJUNG - Seorang suami tidak menyangka hadiah telefon bimbit pintar yang diberikan kepada isterinya telah disalahgunakan.

S Selvaratnam, 36, menghadiahkan sebuah telefon bimbit pintar kepada isterinya, M Ritha, 34, enam bulan lalu apabila didesak oleh isterinya.

Menurutnya, telefon pintar itu digunakan untuk bersembang di laman sosial Facebook.

“Gara-gara bersembang di Facebook isteri saya terpedaya dengan kata-kata manis seorang lelaki sehingga sanggup meninggalkan saya dan dua anak.

“Telefon itu saya berikan untuk kemudahannya dan tidak menyangka disalahgunakan,” katanya yang tinggal di Taman Krishnan, Sitiawan di sini.

Selvaratnam berkata, sejak mempunyai telefon berkenaan, isterinya tidak pernah lekang dengan gajet itu walaupun ke tandas.

Jelasnya, perbuatan isterinya berhubung dengan lelaki lain disedari apabila melihat perbualan mereka menerusi akaun Ritha.

“Saya bertindak menyiasat perkara itu dan mendapati isteri ada menjalinkan hubungan dengan seorang lelaki dari Singapura.

“Mereka kini dipercayai berada di Johor dan saya sangat kesal kerana dia sanggup meninggalkan anak, S Vaishanavi, 11 dan S Yuvanraj, 8,” katanya.

Selvaratnam berharap isterinya pulang semula ke pangkuan keluarga kerana anak-anak begitu merindui Ritha.

Katanya, sehingga sekarang dia tidak tahu mahu mencari Ritha di mana dan berharap orang awam yang mengetahui keberadaan isterinya dapat menghubungi Selvaratnam dengan  segera.

“Saya juga mahu masyarakat menjadikan kisah saya ini sebagai pedoman agar tidak membiarkan anak-anak atau isteri terlalu bebas melayari internet sehingga menimbulkan kesan negatif seperti ini,” katanya.

Dikecam kerana isteri cantik

Aisi memuat naik gambar isteri dan anaknya di laman web Weibo.   
Aisi memuat naik gambar isteri dan anaknya di laman web Weibo.
 
BEIJING - CHINA. Seorang ahli perniagaan dari wilayah Hebei menjadi mangsa kecaman pengguna Internet gara-gara mempunyai isteri jelita.

Lelaki berkenaan, Mei Aisi kini menetap di Ukraine dan berkahwin dengan seorang gadis cantik dari negara itu.

Hasil perkahwinan, pasangan tersebut dikurniakan seorang anak lelaki lapor media China Daily.

Bagaimanapun, tindakan Aisi memuat naik gambar isterinya di laman web Weibo mengundang rasa tidak puas hati pengguna Internet di China.

Ada menganggap isterinya sebagai mata duitan kerana Aisi bukannya lelaki yang kacak.

Monday, November 24, 2014

Penjawat awam terima bonus pada 18 Disember

Mohamed Azmin Ali 
Mohamed Azmin Al
 
SHAH ALAM - Penjawat awam di Selangor bakal menikmati bonus sebanyak setengah bulan gaji pada 18 Disember depan.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, pemberian bonus akhir tahun itu dilakukan bagi membantu penjawat awam bagi menghadapi persediaan untuk persekolahan  anak-anak.

"Sebuah kerajaan yang efisyen dan kuat adalah hasil daripada sinergi dan usaha sama pentadbiran awam.

"Pemberian bonus ini dilakukan atas sumbangan mereka (penjawat awam) dalam melaksanakan dasar-dasar Kerajaan Negeri secara profesional dan berintegriti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Belanjawan Selangor 2015 yang berlangsung di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi, pemberian bonus tersebut dibuat bagi menghargai sumbangan penjawat awam yang mengurus dan membantu menyelaras pelbagai sektor pentadbiran dan pembangunan di negeri tersebut.
 

Sunday, November 23, 2014

Remy Ishak Kini Ada Kekasih Baru?


Peminat dunia hiburan baru baru ini terkejut dengan khabar angin yang tersebar mengatakan Nad Zainal dan Remy Ishak kini sedang hangat bercinta. Nyata gossip itu sekadar gossip apabila kedua dua belah pihak tampil menafikan hubungan cinta antara mereka.

Dalam temubual terbaru bersama Malaysian Digest, Remy Ishak tampil menafikan khabar angin tersebut dan turut menegaskan yang hubungan mereka sekadar pelakon di lokasi penggambaran namun mendedahkan dirinya kini sedang rapat dengan seseorang.

Remy Ishak mengakui kini sebenarnya sedang dalam proses mengenali hati budi Pengarah Urusan Roistz Labels, Roszaliza Yusof yang juga rakan kongsinya dalam menganjurkan sebuah acara berkaitan fesyen di Kuala Lumpur baru baru ini.

“Saya tak mahu cakap lebih bimbang tidak jadi nanti, susah juga lagipun kami masih lagi di tahap berkawan. Dia seorang yang matang dan saya selesa berkawan dengannya. Kami kini baru lebih kurang tiga bulan mengenali dan cuba melangkah ke peringkat yang lebih serius,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Remy Ishak yang baru pulang dari penggambaran drama Satu Hari di Bosnia selama sebulan merancang untuk menerbitkan laman web sendiri selepas ini memfokuskan kepada berita gaya hidup dan fesyen
 
© Copyright 2011 Berita Semasa
Theme by perantaucyber
Template Powered by Blogger.